RM997 juta hutang peneroka di Pahang belum dibayar kepada Felda
KUANTAN, 23 Safar 1438 H, Rabu – Sejumlah RM997 juta hutang peneroka di negeri ini direkodkan masih belum dibayar kepada Felda, persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang diberitahu hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda Pahang, Datuk Abu Bakar Harun, berkata hutang itu terdiri daripada dua kategori iaitu hutang untuk pembangunan sosio ekonomi dan pinjaman pembangunan kebun.
“Hutang bagi pembangunan sosio ekonomi adalah sebanyak RM558.1 juta manakala hutang bagi pinjaman pembangunan kebun pula sebanyak RM438.9 juta,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail (BN-Chenor).
Mohamed Arifin ingin tahu jumlah tunggakan hutang peneroka yang masih belum dijelaskan kepada Felda di Pahang dan tindakan pihak Felda terhadap mereka.
Abu Bakar berkata, jumlah keseluruhan hutang berkenaan melibatkan warga Felda daripada 115 rancangan di tiga wilayah di negeri ini.
Kepada soalan lain Mohamed Arifin, beliau berkata, Felda tidak mengambil sebarang tindakan setakat ini bagi mendapatkan semula bayaran hutang peneroka yang sudah tidak lagi bersama Felda apabila menguruskan sendiri ladang mereka. – Bernama
The post RM997 juta hutang peneroka di Pahang belum dibayar kepada Felda appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan