Russia tarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa
MOSCOW, 17 Safar 1438H, Khamis – Presiden Vladimir Putin, hari ini menandatangani perintah eksekutif mengeluarkan tandatangan Rusia daripada perjanjian penubuhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), satu lagi tekanan kepada mahkamah itu selepas beberapa negara Afrika menarik diri.
Moscow tidak pernah mengesahkan perjanjian itu, yang ditandatangani pada 2000. Ini bermakna, Russia tidak pernah menjadi negara yang tertakluk di bawah bidang kuasa ICC.
Isnin lalu, tindakan ICC yang merujuk Russia berikutan pencerobohan ke atas Ukraine Crimea pada 2014 lalu sebagai konflik senjata, menimbulkan kemarahan Moscow. ICC juga menyiasat tuduhan jenayah perang dilakukan Russia dan tentera Georgia pada 2008.
“Malangnya, mahkamah gagal memberi alasan kukuh, tidak menjadi badan berwibawa dan tidak benar-benar bebas terhadap keadilan antarabangsa.
“Dalam tempoh 14 tahun, ICC hanya mengeluarkan empat keputusan, tetapi membelanjakan AS$1 bilion,” kata Kementerian Luar Russia.
Russia berdepan tekanan antarabangsa berikutan kempen serangan udara di Syria, di mana aktivis kemanusiaan menuduh Moscow menyasar dan membunuh orang awam.
Moscow bagaimanapun, menafikannya dengan mendakwa mereka mengebom ‘pengganas’ – istilah yang digunakan terhadap penentang rejim Presiden Bashar Al-Assad.
Pengumuman Russia mungkin disambut baik beberapa negara Afrika, termasuk Afrika Selatan dan Gambia, yang menarik diri daripada ICC baru-baru ini, namun pengkritik berkata, langkah itu adalah satu lagi contoh di mana Moscow melanggar norma-norma antarabangsa.
“Ini mengesahkan penarikan diri Russia daripada komitmen antarabangsa. Moscow menutup pintu bagi mengaitkan Russia kepada institusi kehakiman yang penting ini,” kata aktivis hak asasi kemanusiaan.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberitahu wartawan, keputusan itu dibuat demi menjaga kepentingan Russia. – Agensi
The post Russia tarik diri daripada Mahkamah Jenayah Antarabangsa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan