RUU 355: PAS bakal anjur himpunan ‘raksasa’
BANGI, 25 Safar 1438H, Jumaat – PAS akan menganjurkan perhimpunan aman secara besar-besaran bagi membuktikan sokongan umat Islam di negara ini terhadap usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.
Perkara itu diumumkan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Parlimen, semalam.
Beliau berkata, perhimpunan yang disifatkannya sebagai ‘raksasa’ itu adalah mewakili parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) Islam termasuk bukan Islam yang menyokong usul pindaan itu dilaksanakan.
“Insya-Allah, PAS akan menganjurkan himpunan aman raksasa mewakili parti politik Islam, NGO Islam termasuk kalangan bukan Islam yang menyokong untuk membuktikan bagaimana sokongan mereka terhadap RUU ini. Tunggu dan lihat,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai tarikh dan tempat perhimpunan itu diadakan, sebaliknya ia akan dimaklumkan kemudian.
“Apa yang penting untuk menunjukkan sokongan awal. Insya-Allah kita akan adakan rundingan dengan semua pihak memastikan himpunan raksasa ini dapat dilaksanakan sebaiknya.
“Tarikh akan diberitahu kemudian, dalam tempoh sehingga bulan Mac iaitu sidang akan datang,” katanya.
The post RUU 355: PAS bakal anjur himpunan ‘raksasa’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan