RUU 355 tidak beri kesan kewangan kepada kerajaan
KUALA LUMPUR, 24 Safar 1438H, Khamis – Rang Undang-undang 355 (RUU 355) tidak akan memberi kesan kewangan kepada kerajaan jika usul berkenaan dipertimbangkan dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan lisan Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah – Parit Buntar).
Mujahid dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan berapakah kos yang diperlukan untuk melaksanakan RUU 355 jika ia diluluskan.
Sementara itu, menjawab soalan Mujahid mengenai perancangan kementerian untuk melaksanakannya ke seluruh negara, Jamil Khir berkata, kerajaan sedang meneliti cadangan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang bertujuan memperluaskan bidang kuasa jenayah mahkamah syariah sedia ada.
“Ini adalah untuk memastikan cadanga pindaan kepada Akta 355 dibuat secara teratur mengikut kerangka Perlembagaan Persekutuan,” katanya, hari ini.
Sebentar tadi, Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul Rang Undang-undang persendirian yang dipinda bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 pada persidangan Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, penerangan lanjut mengenai usul berkenaan ditangguhkan ke sesi akan datang.
The post RUU 355 tidak beri kesan kewangan kepada kerajaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan