RUU pindaan Akta 164 bercanggah dengan Perlembagaan: Zainul Rijal

zainulrijal_1

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 23 Safar 1438H, Rabu – Cadangan meminda Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (Akta 164) adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Dato Haji Zainul Rijal Abu Bakar.

Menyatakan sebabnya, beliau berkata, isu agama anak bawah lapan belas tahun mempunyai perbezaan dengan isu hak jagaan anak.

Pindaan yang diusulkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said tersebut jelas sekali mengetepikan Perlembagaan Persekutuan bila mana ia menyebut agama anak kepada pasangan yang bercerai kerana seorang daripada mereka memeluk Islam, perlu kekal mengikut agama asal perkahwinan pasangan terbabit.

Berdasarkan Ordinan Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 1952, apabila seseorang itu memeluk agama Islam, anak mualaf tersebut secara automatik akan beragama Islam.

Kemudiannya, kedudukan itu telah berubah apabila Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 diluluskan.

Beliau berkata, enakmen berkenaan menyatakan keperluan untuk mendaftar keIslaman anak tersebut diperlukan dan hendaklah salah seorang ibu atau bapa tersebut bersetuju atas pemelukan Islam anak.

“Namun kini, undang-undang baru ingin diperkenal yang memerlukan kedua-dua ibu bapa bersetuju.

“Sudahlah ianya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, umat Islam mundur ke belakang lagi daripada keIslaman yang bersifat automatik ke arah pelbagai syarat dikenakan untuk pemelukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, katanya, cadangan pindaan tersebut akan memberi kesan kepada kes-kes berlalu yang masih belum diputuskan walaupun pindaan hanya akan berlaku setelah kelulusan Parlimen dan diwartakan.

“Kenapakah pendekatan ini diambil? Terdapat pelbagai kes yang telah diputuskan mahkamah dan kesan pindaan ini hanya akan memperlekehkan keputusan yang telah dibuat.

“Adalah amat jarang pendekatan kebelakang sebegini diambil di dalam pindaan undang-undang kerana ia akan menjadikan sesuatu perkara yang sah menjadi tidak sah. Pendekatan sebegini juga haruslah dielakkan,” katanya.

Tidak kurang dengan itu, beliau berkata, kerajaan juga telah tidak mengambil kira ketetapan Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali ke 19 yang sebulat suara memutuskan antara lain mana-mana pasangan bukan Islam yang memeluk Islam dan mempunyai anak-anak di bawah umur lapan belas tahun hendaklah menjadi orang Islam selaras dengan hukum syarak.

“Jelaslah pindaan yang disyorkan ini tidak mengambil kira ketetapan yang dihadiri alim ulama seluruh negara.

“PPMM sekali lagi mencadangkan kepada pihak kerajaan agar semua undang-undang berkaitan isu ini dikaji semula dan suatu badan atau tribunal yang bebas dari mahkamah sivil atau mahkamah syariah diwujudkan bagi menangani isu kekeluargaan mualaf ini secara mediasi,” katanya.

BERITA BERKAITAN:

Agama anak kekal ikut agama asal perkahwinan meskipun ibu atau bapa masuk Islam

The post RUU pindaan Akta 164 bercanggah dengan Perlembagaan: Zainul Rijal appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?