Siasat kebakaran HSA: 11 anggota panel jawatankuasa dilantik
SEGAMAT, 20 Safar 1438H, Ahad – Seramai 11 anggota panel dilantik dalam Jawatankuasa Bebas Siasatan Kebakaran berhubung tragedi kebakaran di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru bulan lepas.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kesemua anggota panel yang terdiri daripada anggota bukan dari kerajaan dan bebas menjalankan siasatan tanpa sekatan, akan memulakan mesyuarat pertama dalam masa terdekat.
“Mereka (anggota panel) bertanggungjawab membuat siasatan terhadap kelemahan atau kesilapan dengan tujuan untuk membetulkan kelemahan sedia ada serta memberi nasihat kepada Kementerian Kesihatan dan agensi lain yang terlibat agar tragedi sama tidak berulang lagi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan ke beberapa rumah di sekitar Kampung Baru, Batu Anam selepas merasmikan majlis gotong-royong mega bersepadu perangi aedes, peringkat kebangsaan 2016 di sini.
Pada 25 Okt lalu, kebakaran di unit rawatan rapi di hospital itu mengakibatkan enam pesakit terkorban.
Dr Subramaniam berkata pihaknya juga belum menerima laporan penuh kejadian kebakaran HSA dan masih menunggu laporan rasmi daripada pihak bomba.- Bernama
The post Siasat kebakaran HSA: 11 anggota panel jawatankuasa dilantik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan