Statistik anti-Islam di AS semakin meningkat
NEW YORK, 16 Safar 1438H, Rabu – Statistik jenayah kebencian terhadap masyarakat Islam di Amerika Syarikat (AS) meningkat sebanyak 67 peratus pada 2015, sekali gus tertinggi sejak insiden 11 September 2001.
Biro Siasatan Persekutuan (FBI) melaporkan, secara keseluruhannya sebanyak 57 peratus daripada 5,850 kes yang direkodkan berpunca daripada bangsa atau etnik, manakala 20 peratus lagi membabitkan jenayah kebencian berkaitan agama.
Susulan itu, sebanyak 257 kes anti-Islam direkodkan berlaku pada tahun lalu ,berbanding 154 kes tahun sebelumnya, yang disifatkan sebagai kedua tertinggi, berbanding peningkatan kes jenayah kebencian yang dilaporkan pada tahun 2001 iaitu sebanyak 481 kes.
Statistik itu dikeluarkan ketika ketegangan kaum dan agama kian melonjak susulan keputusan Pilihan Raya Presiden yang memihak kepada calon Republikan, Donald Trump, yang terkenal dengan dasar anti-Islam dan antipendatang.
Wakil Majlis Perhubungan Islam-Amerika (CAIR), Ibrahim Hooper berkata, statistik ini menunjukkan perpecahan yang sedang berlaku di AS.
“Kita menyaksikan peningkatan jumlah jenayah kebencian terhadap Islam pada akhir tahun 2015 dan jumlah ini semakin bertambah ketika kempen Pilihan Raya Trump.
“Kami menjangkakan situasi ini akan bertambah buruk lagi pada masa akan datang, lebih-lebih lagi dasar Islamofobia yang cuba diterapkan oleh Trump,” katanya. – Agensi
The post Statistik anti-Islam di AS semakin meningkat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan