Tak perlu kerjasama, bubar UMNO dan sertai PAS
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 21 Safar 1438H, Isnin – PAS mengesyorkan supaya UMNO dibubarkan dan mempelawa ahli-ahli serta pimpinan tertingginya menyertai parti itu, kata Naib Presidennya, Ustaz Idris Ahmad.
Ia berikutan susulan daripada cadangan dan pelawaan ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Jamil Khir Baharom semalam, berhubung kerjasama politik antara dua parti (PAS-UMNO) sebagai usaha memperkukuhkan hubungan serta perpaduan Melayu-Islam di Malaysia.
“Kami belum terlintas mahu kerjasama dengan UMNO. Kita tidak pernah bincang dan terfikir perkara itu.
“Kalau begitu saya cadangkan supaya UMNO bubar dan mari sertai PAS. Itu lebih mudah daripada wujudkan kerjasama sebegitu. Tak perlulah nak jalin kerjasama,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.
Jamil Khir sebelum ini berkata, kerjasama sedemikian adalah dituntut malah disebut di dalam al-Quran bagi memastikan survival umat Islam secara keseluruhannya.
Malah katanya, cadangan itu akan dibawa beliau dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2016) yang dijadual berlangsung pada 29 November hingga 3 Disember nanti.
Mengulas lanjut perkara itu, Ustaz Idris berkata, PAS masih berpegang dengan pendirian mereka untuk tidak akan menjalinkan sebarang hubungan politik terutama UMNO.
“Dan kami masih berada di blok pembangkang. Antara PAS dan UMNO masih berada pada posisi yang berlainan,” katanya.
The post Tak perlu kerjasama, bubar UMNO dan sertai PAS appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan