Tiada rakyat Malaysia cedera dalam gempa bumi di Fukushima
PUTRAJAYA, 22 Safar 1438H, Selasa – Kedutaan Malaysia di Tokyo mengesahkan bahawa tiada rakyat Malaysia terlibat dalam insiden gempa bumi yang melanda Wilayah Fukushima, Jepun hari ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, kedutaan sedang memantau rapi situasi selepas gempa bumi bermagnitud 7,3 mengikut skala Richter menggegarkan Wilayah Fukushima pada 5.59 pagi.
“Pihak Kedutaan juga berhubung rapat dengan pihak berkuasa Jepun untuk maklumat terkini mengenai situasi dan bagi mendapatkan nasihat.
“Kerajaan Malaysia merakamkan simpati kepada Kerajaan dan rakyat Jepun terutama mereka di kawasan-kawasan yang terlibat,” kata kenyataan itu.
Gempa bumi tersebut mencetuskan amaran tsunami dan penduduki di Wilayah Fukushima dan Miyagi telah diarah supaya meninggalkan kawasan-kawasan pantai dan menuju ke kawasan atau tempat yang lebih tinggi.
Bagaimanapun, amaran tsunami telahpun ditarik balik berdasarkan situasi semasa di kawasan-kawasan terlibat. – Bernama
The post Tiada rakyat Malaysia cedera dalam gempa bumi di Fukushima appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan