Timbalan Menteri nafi Zakir Naik diberi kerakyatan Malaysia
BANGI, 28 Safar 1438H, Isnin – Pendakwah terkenal antarabangsa, Dr Zakir Naik tidak diberikan kerakyatan Malaysia seperti dakwaaan sebuah laporan akhbar India, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata, sehingga kini kerajaan tidak memberikan kerakyatan kepada pengasas Yayasan Penyelidikan Islam beliau (IRF) itu.
“Kami tidak memberikan kewarganegaraan secara automatik melainkan jika orang yang dilahirkan di negara ini kepada ibu bapa Malaysia,” kata Nur Jazlan dalam satu mesej kepada The Star Online.
Sebelum ini, Hindustan Times di India melaporkan bahawa Dr Zakir telah diberi kerakyatan Malaysia.
Laporan itu mendakwa Dr Zakir bersembunyi di Malaysia selepas IRF miliknya diharamkan oleh pihak berkuasa India.
Laporan itu juga memetik wakil beliau mengesahkan perkembangan terkininya itu dengan berkata, kerakyatan Malaysia yang ditawarkan kepadanya termasuk dalam pakej perjanjian ketika beliau dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah pada 2013.
Mengulas lanjut Jazlan berkata, beliau tidak berfikir bahawa Dr Zakir mahu memohon kerakyatan untuk menjadi warganegara Malaysia.
“Dr Zakir bukanlah personaliti agama yang penting bagi rantau Asia Tenggara, malah kita harus mempunyai model Islam kita sendiri yang bersederhana sesuai dengan budaya sopan daripada penduduk di sini.
“Dia lebih kepada budaya India dan Asia-Sentrik tetapi beberapa idea-ideanya boleh digunakan di sini, dan sebab itulah beliau telah dianugerahkan anugerah Tokoh Maal Hijrah,” katanya.
The post Timbalan Menteri nafi Zakir Naik diberi kerakyatan Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan