Tinggal al-Quran, hadis punca umat Islam gagal dalam tadbir urus, kata Tun Dr Mahathir
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 17 Safar 1438H – Faktor utama nasib umat Islam menjadi mangsa kegagalan tadbir urus yang baik disebabkan mereka sendiri meninggalkan ajaran Islam yang terkandung dalam al-Quran dan hadis.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi Persidangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KL Summit), Tun Dr Mahathir Mohammad di Khourtum, Sudan, hari ini.
Persidangan tiga hari itu dihadiri tokoh politik dan pemikir Islam dari lebih 21 buah negara dengan topik perbincangan ‘Tadbir Urus Yang Baik dan Peranannya kepada Kemajuan Tamadun’.
Justeru, bekas Perdana Menteri berkata, ketika ini KL Summit sedang berusaha mencari jalan penyelesaian kepada situasi sukar yang sedang dilalui umat Islam dan juga negara Islam yang lain.
Katanya, sebenarnya, situasi dan masalah yang sedang dilalui ini bukan berlaku secara tiba-tiba, pasti ada sebab dan faktornya.
“Perkara paling penting adalah kita melihat semula adakah wujud faktor-faktor itu daripada kita sebagai umat Islam sendiri? Jadi menuding jari kepada pihak lain semata-mata adalah tidak bermanfaat,” katanya.
Tun Dr Mahathir berpendapat faktor utama kepada hal ini adalah kerana umat Islam sendiri tidak mengikut ajaran Islam yang sebenar.
Sedangkan katanya, Islam adalah ajaran yang menyeluruh bukan semata-mata ritual agama sahaja.
“Islam ajar kita jangan berpecah kerana umat Islam adalah bersaudara. Jadi kalau kita ingin bercakap tentang urus tadbir yang baik, kita kena lihat bagaimana nak mencapai semula kegemilangan tamadun Islam dahulu yang perintah dunia.
“Umat Islam dahulu adalah pengeluar utama kepada segala produk dan keperluan, tapi kini kita hanyalah sebagai pengguna sahaja. Hatta, kita terpaksa bergantung kepada negara lain untuk pertahankan diri. Beli senjata dan sistem pertahanan.
“Dan inilah yang difahami oleh umat Islam terdahulu yang mana mereka berjaya mencapai tahap kegemilangan yang sangat tinggi,” katanya.
KL Summit hasil cetusan idea Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) di Sudan ini adalah siri ketiga sejak diadakan buat pertama kalinya pada 2004. Ia dianjurkan bersama Yayasan Persahabatan Malaysia-Arab-Turki (MTAEF).
Delegasi Isma dihadiri, Presidennya, Ustaz Abdullah Zaik Ab Rahman; Naib Presiden 1 Isma, Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni; Naib Presiden 3 Isma, Prof Madya Dr Zainurrashid Zainuddin; Pengerusi Biro Dakwah Isma, Ustaz Omar Kassim dan Ketua Wanita Isma, Dr Norsaleha Mohd Salleh.
Delegasi lain, termasuk Prof Badrulhisham Abd Aziz, Zaim Shaari dan NoorZaimeen A Kadir.
The post Tinggal al-Quran, hadis punca umat Islam gagal dalam tadbir urus, kata Tun Dr Mahathir appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan