TPPA: Malaysia ambil pendekatan tunggu dan lihat

Sumber foto: TMI/Najjua Zulkefli

Sumber foto: TMI/Najjua Zulkefli

KUALA LUMPUR, 14 Safar 1438H, Isnin – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan akan mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung status Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) walaupun terdapat andaian perjanjian itu tidak akan diteruskan dengan kemenangan Donald Trump pada pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS).

Pada masa ini, katanya, terdapat beberapa kemungkinan akan berlaku termasuk Trump mengubah pendiriannya berhubung perjanjian itu setelah mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 20 Jan depan.

“Pada masa ini nampak kemungkinan perkara ini dibawa ke Kongres AS seperti tidak akan berlaku, tetapi ada juga pendapat mengatakan Trump akan mengubah pendirian kerana telah mengubah pendirian tentang beberapa perkara…jadi kita tengok selepas 20 Jan depan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mustapa berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Fauzi Abdul Rahman (PKR-Indera Mahkota) yang ingin tahu pendirian kerajaan sekiranya Trump tidak meneruskan perjanjian tersebut.

TPPA merupakan perjanjian perdagangan bebas yang telah dirundingkan sebagai sebahagian daripada Perkongsian Ekonomi Strategik Trans-Pasifik sejak 2010.

12 negara iaitu AS, Australia, Brunei, Kanada, Chile, Jepun, Mexico, New Zealand, Peru, Singapura, Vietnam dan Malaysia telah memuktamadkan rundingan TPPA di Atlanta pada 5 Okt, 2015, dan menandatangani perjanjian itu di Auckland pada 4 Feb, 2016.

Mustapa berkata, perkara itu juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Lima, Peru pada 19-20 Nov ini.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan dijangka membincangkan usul meneruskan TPPA tanpa AS serta memasukkan China ke dalam perjanjian itu. – Bernama

The post TPPA: Malaysia ambil pendekatan tunggu dan lihat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?