Turki ambil semula 6,000 guru digantung selepas rampasan kuasa
ANKARA, Sabtu, 26 Safar 1438H, Sabtu – Pihak berkuasa Turki telah mengambil semula lebih 6,000 guru yang digantung selepas dituduh mempunyai kaitan dengan keganasan rampasan kuasa yang gagal, Julai lalu.
“Seramai 6,007 kakitangan yang digantung kerana didakwa mempunyai kaitan dengan beberapa pertubuhan pengganas sudah kembali bekerja,” kata Kementerian Pendidikan Turki di laman Twitter.
Sejak komplot rampasan kuasa 15 Julai lalu, berpuluh-puluh ribu guru telah digantung dan dipecat kerana disyaki mempunyai kaitan dengan militan Kurdish dan pihak komplot apabila sekumpulan anggota tentera dan kakitangan kerajaan cuba menggulingkan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Sebelum ini, dilaporkan 100,000 individu dalam tentera, perkhidmatan awam, polis dan badan kehakiman telah dipecat atau digantung manakala hampir 32,000 orang lagi ditahan kerana disyaki menyokong Fethullah Gulen yang didakwa sebagai dalang utama cubaan rampasan kuasa tersebut.
Manakala, 15 agensi berita akhbar, atas talian dan majalah yang dikaitkan dengan kumpulan Kurdish juga telah ditutup, menjadikan bilangan organisasi media ditutup kepada 160. – Agensi
The post Turki ambil semula 6,000 guru digantung selepas rampasan kuasa appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan