Umat Islam Nusantara Dibantu Oleh Ikatan Akidah, Bukan Semangat ASEAN

Dasar tidak campur tangan di kalangan negara-negara anggota ASEAN tidak akan menyelamatkan umat Islam Rohingya

myanmar

Pada awal bulan November 2016, saya telah menulis mengenai Ahok, gabenor Jakarta beragama Kristian yang memainkan sentimen agama dengan sifat celupar terhadap Al-Quran dalam kempen politik beliau. (http://ift.tt/2fAKjP2).

Nampaknya sudah ada satu corak (pattern) yang sama di kalangan sebahagian pemimpin negara-negara ASEAN di dalam tindakan dan layanan mereka terhadap kepentingan dan hak-hak umat Islam di negara masing-masing. Burma adalah contoh terkini bagaimana nyawa umat Islam begitu murah dan darah mereka senang ditumpahkan tanpa sedikitpun takut atau khuatir akan tindakan balas daripada rakan-rakan dan sekutu-sekutu ASEAN.

Ini kerana Burma tahu bahawa negara-negara Islam di dalam perikatan ASEAN tidak akan mampu atau berani walau untuk mengangkat jari atau menyinsing lengan masing-masing sambil memberi amaran kepada Burma supaya menghentikan penyiksaan, penindasan dan kekejaman terhadap umat Islam Rohingya.

Barangkali dasar tidak campur tangan ASEAN adalah satu kaedah terbaik untuk pemerintah Burma melakukan pembersihan etnik terhadap umat Islam tanpa sebarang hukuman balas. Regim ini sewenang-wenangnya menyembelih umat Islam (terinspirasi daripada tindakan ISIS) sambil mencemuh Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan rakan-rakan anggota ASEAN yang tiba-tiba bertukar menjadi buta, bisu dan pekak.

Persis sepertimana isu Palestin, yang dilayan cuma dengan retorik dan kata-kata simpati pemimpin-pemimpin Arab yang memualkan. Seolah-olah Palestin adalah satu igauan dan mimpi buruk yang perlu dibakulsampahkan sesegera mungkin. Apakah ini juga pendirian pemimpin-pemimpin negara anggota ASEAN beragama Islam?

Kita boleh faham (walaupun tidak boleh memaafkan) sikap “mayat”nya hati dan perasaan terhadap penderitaan umat Islam Palestin yang terletak ribuan kilometer jauhnya dari negara kita. Akan tetapi, umat Islam Rohingya adalah jiran terdekat yang tinggal cuma di “belakang” rumah kita sahaja. Tidak banyak yang dapat dilakukan secara berkesan dan praktikal untuk membantu saudara-saudari dan “anggota keluarga” kita di sana.

Akan tetapi kerajaan Malaysia dan juga kerajaan negara-negara umat Islam di dalam ASEAN, apakah pula alasan mereka?

Dasar tidak campur tangan?

Kepentingan ekonomi?

Tekanan kuasa-kuasa besar?

Sekiranya pihak kerajaan tidak mahu atau enggan bertanggungjawab untuk membela Muslimin Rohingya atas apa alasan sekalipun, maka peranan dan kewajipan ini harus dipikul oleh umat Islam. Biarlah umat Islam di sini dan seluruh Nusantara yang membela dan menolong umat kaum Muslimin Rohingya. Jangan disekat atau dihalang sebarang usaha mulia ini sesudah pihak kerajaan “berpangku tangan” dalam menterjemahkan hati nurani umat Islam kepada regim pengganas Burma.

Begitu banyak kerajaan negara-negara Islam telah mengecewakan umatnya dalam isu-isu melibatkan kepentingan umat Islam yang ditindas seperti yang sedang berlaku di Burma, atas alasan kerjasama politik serantau.

Semangat ASEAN dan dasar tidak campur tangan tidak pernah menyelesaikan isu penderitaan dan kezaliman yang dilakukan secara terancang ke atas umat Islam di beberapa negara anggotanya. Umat Islam tidak percaya sekiranya dasar ini adalah solusi terbaik kepada mereka. Keberkesanan dasar ini dalam membantu umat Islam tidak pernah terbukti dalam sejarah.

Episod pembantaian dan “genocide” serta pembersihan etnik secra terancang tajaan kerajaan memerintah ini hanya akan terjawab dengan respon balas yang dilakukan oleh umat Islam sendiri, bukan oleh kerajaan yang mewakili mereka.

Ia bukan juga satu krisis kemanusiaan semata-mata, yang tanpa penyertaan umat Islam untuk menanganinya secara bersama, ia hanya akan mengulangi atau mencerminkan dasar tidak campur tangan yang sama sahaja.

Regim Burma sedang bersikap tidak ubah seperti entiti haram Israel masa kini dan regim apartheid Afrika Selatan satu masa dahulu. Tokoh-tokoh yang kononnya pejuang hak asasi (termasuk yang pernah memenangi Hadiah Nobel untuk “Keamanan”) bukanlah rujukan yang tepat untuk mendapat “petunjuk”. Ini kerana tangan mereka juga berlumuran darah umat Islam di Burma.

Bagaimana untuk mengharapkan pembelaan daripada “pejuang” hak asasi ini sedangkan sebelum ini individu ini amat marah apabila mendapat tahu bahawa beliau telah ditemuramah oleh seorang Muslim!

(http://ift.tt/2fAH7Tn).

Beliau juga seorang hipokrit.

(http://ift.tt/2fANVjR)

Isu hak asasi umat Islam Rohingya tidak pernah tersenarai dalam agenda “perjuangan” beliau.

(http://ift.tt/2fAJZzE).

Justeru, paksi utama ke arah penyelesaian secara berkesan terletak di atas tangan dan bahu umat Islam sendiri tanpa dipengaruhi mana-mana kepentingan politik. Tuntutan akidah akan menggerakkan mereka untuk melaksanakan langkah-langkah praktis yang sekiranya tidak disekat/dihalang oleh pemerintah di negara masing-masing, boleh menyebabkan regim pengganas Burma tersentak dan berfikir berkali-kali sebelum mengulangi pembantaian dan aksi pembunuhan beramai-ramai ke atas umat Islam Rohingya.

Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) juga tidak boleh diharap untuk berperanan secara efektif. Kewujudan dan kezaliman entiti haram Israel adalah satu bukti nyata bagi pernyataan ini.

Tiada jalan lain bagi umat Islam, melainkan kembali kepada kekuatan akidah yang mengikat kita semua sebagai umat yang bersaudara, yang merentasi sempadan geografi dan bahasa serta budaya.

Semangat ASEAN hanyalah retorik palsu sahaja.

Mohd Luttfi Bin Abdul Khalid

The post Umat Islam Nusantara Dibantu Oleh Ikatan Akidah, Bukan Semangat ASEAN appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?