UPSR 2016: Lihatnya dari kanta mata lebah
Tengahari tadi bersembang bersama rakan-rakan guru yang sedang bersungguh-bersungguh menjalani raptai Majlis Graduasi Tahun 6. Bakal berlangsung beberapa hari lagi.
Duduk kami mengenang zaman-zaman sewaktu kami menduduki UPSR. Puluhan tahun yang lalu. Meskipun telah sekian lama namun setiap dari kami merasakan bahawa memori hari tersebut tetap datang saban tahun.
“ Aku dulu 2A je, Ju,” ujar saya jujur setelah yang lain-lain berkongsi kenangan-kenangan mereka semasa keputusan UPSR diumumkan.
“ Itupun mak ayah aku kata mujur ada A. Sebab kalau tengok gaya belajarnya tu, macam banyak main dari mengulangkaji. Takde harapan nak nampak bayang A langsung,” sambung saya sambil disambut oleh ketawa rakan-rakan.
Dalam gelak ketawa itu, si ustazah yang turut sama dalam kumpulan kami menyambung, “kalau kau dapat 4A masa tu, mungkin sekarang kau tak berada di sini. Entah kat mana-mana kau agaknya, Madi,” ujarnya.
Bila direnung-renung semula, benarlah sungguh apa yang dikata oleh sekian ramai cerdik dan pandai. Salah seorang darinya adalah Ibn ’Atailah As-Sakandari, seorang ulama yang hidup di Mesir sekitar tahun 1250 M. Katanya, “Sekuat manapun cita-cita, tidak akan mampu mencarik kota takdir.”
Ini menunjukkan bahawa sekuat manapun keinginan kita terhadap sesuatu perkara tidak akan mampu kita mengatasi tulisan takdir yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Sehebat dan seteliti manapun tadbir manusia masakan mampu menahan takdir Allah swt.
Cita-cita sebagai seorang guru jujurnya tidak pernah ada dalam sejarah hidup saya. Sehinggalah saya menempuh bidang ini secara ‘paksarela’ oleh ibu dan ayah saya. Namun nuansa pendidikan yang berwarna-warni ini akhirnya berjaya membuatkan hati ini jatuh cinta dengan profesion ini.
Zaman kami telah berlalu. Beberapa jam sahaja lagi bakal tiba giliran anak-anak murid kami di tahun 6 melalui pengalaman yang pernah kita lalui dahulu. Lumrahnya bakal ada yang cemerlang dan ada juga yang hanya sekadarnya.
Saya pernah mendengar seorang ustaz bercerita melalui radio mengenai satu perumpamaan yang amat menarik. Mengenai bagaimana kita melihat kehidupan. Dalam ceritanya beliau meminta kita melihat kehidupan seperti seekor lebah yang ke mana sahaja perginya akan sentiasa melihat-lihat kuntuman bunga yang cantik dan segar untuk mendapatkan madunya. Bukan seperti seekor lalat yang senantiasa mencari bangkai atau sampah yang berbau meskipun berada di taman bunga.
Hebat sekali perumpamaan ini sebenarnya. Ada banyak perkara dalam kehidupan kita yang bakal berubah sekiranya kita benar-benar menghayatinya.
Saya percaya malam ini ramai calon-calon UPSR 2016 yang tidak lena tidurnya. Apa tidaknya esok merupakan hari untuk mereka melihat hasil dari usaha mereka selama 6 tahun berada di sekolah ini. Masing-masing pasti memikirkan apakah keputusan yang bakal mereka terima esok. Adakah akan dapat seperti yang dihajati ataupun tidak.
Ada juga barangkali yang tidak ambil peduli. Ah! Lantaklah! Tak kisahlah dapat apa esok. Atau mungkin ada juga yang sudah dapat mengagak keputusan esok apabila merenung kembali segigih mana usaha mereka untuk menghadapi peperiksaan itu tahun lalu.
Saya ingin mengajak anak-anak murid yang bakal mengambil keputusan UPSR esok hari untuk sama-sama memakai ‘kanta mata lebah’ agar kita sentiasa dapat mencari kebaikan dalam apa jua keputusan yang kita terima esok. Kenapa?
Kerana sekiranya kita mendapat keputusan yang baik esok, kanta mata lebah kita akan melihat betapa banyaknya usaha dan pengorbanan kita dan orang-orang di sekeliling kita sehingga kita dapat mencapai kecemerlangan ini.
Kanta mata lebah kita akan melihat pengorbanan ibu dan ayah kita yang sentiasa menyokong dan memahami kita dan tak putus-putus doa mereka. Kita pasti dapat melihat betapa disebalik kejayaan kita ada usaha sang guru yang tidak kenal lelah dan jemu membimbing kita.
Pada waktu itu kanta mata lebah akan menghantar isyarat kepada kita agar kita bersyukur dan berterima kasih kepada Allah swt dan juga kepada mereka yang telah banyak membantu kita. Pada waktu itu juga ia menghindarkan kita dari rasa ujub, sombong dan riak dan menyelamatkan kita dari takbur yang menjadi punya sia-sianya usaha kita selama ini.
Kalaupun keputusan esok tidak seperti yang kita harapkan maka kanta mata lebah akan membolehkan kita melihat hikmah disebalik perkara tersebut. Kegagalan hari ini tidak bermakna kita akan terus menempa kegagalan selama-lamanya. Hari ini sekian banyak manusia-manusia yang berjaya adalah mereka-mereka yang pernah merasa sakitnya gagal.
Kita juga tidak melihat kegagalan kita untuk dicerca, dimaki atau dikeji tetapi ia melihat kelemahan dan kegagalan kita sebagai guru yang ingin mengajar hati kita mengenai peritnya sebuah kegagalan. Dan pada waktu itu kanta mata lebah akan hanya nampak apa yang perlu di tinggalkan dan apa yang seharusnya diperbaiki pada diri kita. Lebih dari itu kanta mata lebah akan membuatkan kita memahami erti ikhlasnya para ibubapa dan guru yang tetap menerima kelemahan kita selama ini seadanya.
Buat ibu-ibu dan ayah-ayah sekalian, malam ini kita tidur dengan doa agar Allah sentiasa memberikan apa yang anak kita perlukan dalam meneruskan langkah yang lebih jauh di dunia dan akhirat. Kita pohon supaya Allah jauhkan dari keinginan dan kehendak hawa nafsu yang melalaikan kita dari mengingati Allah dan RasulNya.
Dan kita bangun pada esok hari dengan anugerah kanta mata lebah agar kita sentiasa dapat mencari kekuatan dan kelebihan yang ada pada anak kita tidak kira apa sahaja keputusan yang mereka perolehi esok hari.
Salam hikmah dari kami geng mata lebah sesi petang SKBASKK 2016.
Asmadi Abdul Samad
Pengarah KRIM Nasional
Ulasan
Catat Ulasan