UPSR ambil kira kreativiti pelajar selain akademik

keputusan-upsr

KUALA LUMPUR, 17 Safar 1438H, Khamis – Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016 yang menggunakan format baharu perlu dilihat secara lebih holistik dan tidak menumpu kepada soal akademik semata-mata, kata menteri pendidikan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ini kerana kaedah peperiksaan tahun ini lebih menjurus kepada pendekatan kreativiti dan aras pemikiran tinggi berbanding tahun sebelum ini yang memfokuskan soalan aneka pilihan.

“Dalam peperiksaan tahun ini, jumlah A adalah 6. Jadi, ibu bapa tidak perlu gusar soal jumlah A itu, memang betul A itu sangat baik tetapi secara keseluruhannya format insrumen itu yang berbeza jauh sekali dalam peperiksaan ini,” katanya selepas melawat Sekolah Kebangsaan Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, sempena pengumuman keputusan UPSR 2016 hari ini.

Jelasnya, pencapaian UPSR tahun ini tidak wajar dibandingkan dengan keputusan tahun lalu memandangkan murid perlu menjawab kertas peperiksaan berkaitan kefahaman dan penulisan yang memerlukan asas kemahiran berbanding objektif sebelum ini.

Mahdzir berkata, pencapaian UPSR 2016 yang merupakan kohort pertama di bawah format baharu pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) juga melengkapi Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) sejak 2011, bagaimanapun masih perlu dipertingkatkan terutama dalam penguasaan mata pelajaran Sains dan
Matematik.

Terdahulu, ketika berucap, Mahdzir berkata, pencapaian murid ditaksirkan bukan berasaskan kecemerlangan akademik semata-mata, sebaliknya PBS turut diambil kira untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Pentaksiran bukan sahaja akademik, tetapi penilaian sekolah juga diambil kira, jika akademik lepas tetapi PBS tidak, ia akan merendahkan markah murid,” katanya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof hari ini mengumumkan 4,896 daripada 452,721 murid mendapat keputusan cemerlang Gred A bagi semua mata pelajaran dalam UPSR 2016.

Tahun ini, katanya, pelajar akan menerima 4 slip keputusan peperiksaan, iaitu Slip Keputusan UPSR, Slip Pentaksiran Sekolah, Slip Pentaksiran Psikometrik dan Slip Pentaksiran Jasmani dan Kokurikulum.

Khair berkata, dari segi jurang pencapaian bandar dan luar bandar menunjukkan gred purata 2.84% di bandar, manakala luar bandar 3.08%.

“Pihak Lembaga Peperiksaan akan buat analisis khususnya dalam mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris sebab kita tengok pada keseluruhan pencapaian subjek itu di bandar agak tinggi,” katanya. -Bernama

The post UPSR ambil kira kreativiti pelajar selain akademik appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?