Zahid minta Ahli Parlimen hormat undang-undang untuk orang Islam
KUALA LUMPUR, 24 Safar 1438H, Khamis – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta semua pihak termasuk Ahli Parlimen Islam dan bukan Islam menghormati Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang akan dibentangkan hari ini.
Beliau berkata, usul yang dikemukakan ialah undang-undang untuk orang Islam.
“Saya berasa bertanggungjawab bersama-sama rakan lain, bukan kita mahu antagonis menentang kawan lain.
“Tetapi tolong hormat, undang-undang ini hanya untuk orang Islam, kalau tidak faham kita akan runding, kita akan jelaskan, jangan tentang sebelum faham,” katanya.
Mengulas mengenai maklum balas Ahli Parlimen terhadap usul ini beliau berkata, pihaknya sudah memperjelaskan bahawa rang undang-undang persendirian yang dibentangkan oleh PAS itu bukan hukum hudud dan tidak melibatkan bukan Islam.
Sebaliknya ia adalah untuk memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah termasuk meningkatkan jumlah denda dan tempoh penjara, selain menambah baik gred perkhidmatan hakim-hakim.
“Biarpun kita berbeza pendapat, latar belakang parti politik dan ideologi, semalam terbukti dalam Parlimen apabila ahli-ahli Parlimen Islam daripada BN (Barisan Nasional), Pas, PAN dan PKR duduk semeja membincangkan RUU 355.
“Peringkat awal agak hangat kerana mereka kurang faham tetapi apabila penjelasan dibuat, mereka kata kenapa tidak dijelaskan dari dahulu. Soalan kita, kenapa tidak tanya dari dahulu,” katanya.
The post Zahid minta Ahli Parlimen hormat undang-undang untuk orang Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan