76 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan mencukupi hadapi masa “kecemasan”
KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1438H, Rabu – Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, lebih 76 peratus rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menghadapi masa sukar atau “kecemasan”.
Beliau yang dipetik Sin Chew Daily berkata, hanya 6 peratus rakyat Malaysia mempunyai wang mencukupi untuk meneruskan hidup lebih 6 bulan pada waktu kecemasan atau tempoh susah, manakala 18 peratus lagi boleh hidup lebih 3 bulan.
“Kebanyakan rakyat Malaysia tidak membuat persediaan mencukupi untuk menghadapi “kecemasan” seperti diberhentikan kerja dan sakit menyebabkan mereka kehabisan wang simpanan dalam masa singkat.
“Rakyat perlu membuat persiapan dengan menabung atau mencari jalan menambah punca pendapatan dengan meningkatkan kemahiran mereka dan bekerja dalam bidang berkemahiran tinggi,” katanya ketika bercakap pada sidang media selepas dialog anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) di ibu negara semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, laporan Institut Kewangan Asia (AIF) menunjukkan tahap pendidikan pengurusan kewangan generasi muda rendah.
“Hanya 28% anak muda menguruskan kewangan manakala 58% mempunyai pengetahuan mengenai pengurusan kewangan,” katanya.
Abu Hassan berkata, kebanyakan anak muda mula berhutang pinjaman pendidikan ketika masih bersekolah, disusuli kad kredit dan kereta selepas bekerja, manakala ada yang membuat pinjaman peribadi atas pelbagai sebab, tetapi tidak mampu membayarnya.
The post 76 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan mencukupi hadapi masa “kecemasan” appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan