Aktivis Isma Kuala Pilah isi masa cuti sekolah anjur kursus pengurusan jenazah
oleh Adli Adnan
KUALA PILAH, 7 Dis – Bulan Disember sudah semestinya sinonim dengan cuti persekolahan hujung tahun yang panjang. Pelbagai aktiviti telah dirangka oleh ibu bapa sama ada ingin membawa keluarga untuk bercuti ke lokasi pilihan sama ada di dalam mahupun di luar negara. Tidak lupa juga kepada ibu bapa yang mengambil inisiatif untuk menghantar anak-anak lelaki mereka untuk dikhatankan seperti yang telah disyariatkan oleh Islam.
Namun begitu, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma Kuala Pilah), sebuah NGO Islam sederhana memilih pendekatan berbeza bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Dato’ Idris menganjurkan sebuah bengkel pengurusan jenazah kepada murid-murid tahun 6 sebagai manfaat sempena cuti sekolah.
Aktiviti ini telah disertai oleh 35 orang murid tahun 6 dan tenaga pengajar yang terlibat adalah terdiri daripada aktivis-aktivis Isma Kuala Pilah iaitu Ustaz Muhammad Asyraf bin Othman dan juga Ustazah Latifah binti Abdul Ghani.
Menurut Ustaz Muhammad Asyraf Othman, bengkel ini diharap dapat menyuntik kefahaman murid-murid tahun 6 akan ilmu pengurusan jenazah yang merupakan ilmu fardu kifayah yang dituntut oleh umat Islam.
“Diharapkan bengkel ini juga diharap dapat menyakinkan murid-murid tentang perlunya persiapan yang bersungguh untuk menghadapi mati kerana mati itu pasti,” ujarnya.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan