Dua pesawat digunakan bantu operasi banjir Pantai Timur
SUBANG, 6 Rabiulawal 1438H, Selasa – Dua pesawat pengangkut Airbus A400M akan digunakan untuk membantu operasi ketika banjir menerusi Ops Murni, khususnya di Pantai Timur.
Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Jeneral Tan Sri Roslan Saad berkata selain A400M, aset lain yang akan digerakkan ialah helikopter EC725, helikopter jenis Nuri dan pesawat C130 Hercules.
Katanya, kesemua aset ini diletakkan dalam keadaan siap sedia sekiranya keadaan banjir terutamanya di kawasan pantai timur semakin teruk.
“Kita akan aktifkan semua aset dan anggota selain mengenal pasti kawasan mana yang perlu diberi tumpuan ketika banjir,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan TUDM Tahun 2016, di Pangkalan Udara TUDM di Subang, di sini, hari ini.
Pesawat A400M buatan syarikat Airbus Defence itu berkemampuan membawa bebanan 20 tan dan penerbangan sejauh 3,400 batu nautika tanpa perlu mengisi minyak dan boleh berada pada ketinggian 37,000 kaki dengan kelajuan Mach 0.72.
Pesawat itu juga berupaya melaksanakan misi yang merangkumi penugasan berkaitan pemindahan perubatan (Medevac), pengisian semula bahan api dari udara ke udara, penyerahan aerial (Paratroop & Logistik) serta operasi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR).
Selain itu, Roslan berkata pihaknya bercadang untuk menaik taraf beberapa pesawat sedia ada selain melupuskan pesawat yang telah usang pada tahun depan.
“Bajet untuk TUDM telah dikurangkan namun TUDM mempunyai perancangan tersendiri untuk meminimumkan perbelanjaan,” katanya.- Bernama
The post Dua pesawat digunakan bantu operasi banjir Pantai Timur appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan