Elakkan salah guna kuasa, rasuah, amalkan integriti: Khutbah Jumaat

the-national-mosque-masjid-negara1

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Rabiul Awal 1438H, Jumaat – Fenomena rasuah, penyelewengan serta salahguna kuasa berskala besar yang semakin hari semakin membimbangkan perlu menjadi titik utama setiap pekerja menilai kembali komitmen dalam kerjaya masing-masing.

Menerusi khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini, umat Islam diingatkan untuk melihat semula sama ada tugas yang dilaksanakan selama ini benar-benar menepati konsep bekerja sebagai ibadah.

“Kita perlu sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin, menyelesaikan tugasan yang diberi dan dalam masa yang sama menjauhkan diri dari sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa, penipuan, manipulasi dan sebagainya.

“Para pekerja dalam apa sektor sekalipun adalah dilarang untuk menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga dan sahabat handai.

“Seharusnya perkara ini membuka mata dan menyedarkan kita betapa usaha-usaha berkaitan pemupukan integriti dan tadbir urus perlu diperhebat dan dimantapkan bagi memperkasa imej perkhidmatan awam sekalipun bilangan yang terlibat adalah kecil,” kata kenyataan khutbah itu.

Ini kerana, katanya, kehidupan sedemikian sudah tentu tidak akan memberi ketenangan kepada diri, bahkan terhalang daripada mendapat keberkatan dan keredhaan Allah swt.

“Dengan mengharapkan keampunan Allah wt, marilah kita tanamkan azam untuk melaksanakan tugas yang diberi kepada kita dengan penuh integriti bukan sahaja untuk memperkasa perkhidmatan tetapi mencari keredhaan Allah agar kedaulatan agama terpelihara dan kemakmuran negara terbela.

“Ikhlaskanlah diri dalam melaksanakan apa juga amalan supaya ia diterima sebagai amal soleh dan mendapat ganjaran di sisi Allah swt,” katanya.

Dalam masa yang sama, mengulas tentang isu penindasan umat Islam di Rohingya, mimbar turut mengambil kesempatan untuk memohon dan menuntut agar kekejaman yang berlaku segera dihentikan kerana ia jelas telah melanggar batas kemanusiaan.

“Bagi membuktikan penentangan rakyat Malaysia terhadap tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu, maka satu perhimpunan besar-besaran akan diadakan pada 4 Disember 2016 ini sebagai tanda solidariti umat Islam di negara ini di atas kekejaman tersebut.

“Mudah-mudahan Allah SWT memakbulkan doa umat Islam di seluruh dunia agar etnik Rohingya diselamatkan daripada terus-terusan dibunuh, dirogol, dibakar hidup-hidup dan seribu satu macam kekejaman lagi,” katanya.

The post Elakkan salah guna kuasa, rasuah, amalkan integriti: Khutbah Jumaat appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?