Isma puji sikap Faiz Subri mahu tonjol, martabat identiti Melayu di Puskas
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 6 Rabiulawal 1438H, Selasa – Hasrat murni pemain tengah skuad Harimau Kumbang, Mohd Faiz Subri yang mahu memakai pakaian tradisional Melayu pada Majlis Anugerah Puskas di Zurich pada 9 Januari nanti mendapat pujian Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdul Rahman Mt Dali.
Beliau berkata, beliau bangga kerana Mohd Faiz tidak melupakan asal usulnya, malah mahu mengetengahkan baju Melayu pada dunia.
Faiz turut menyatakan hasrat untuk memberi ucapan dalam bahasa Melayu sekiranya anugerah Puskas itu menjadi miliknya.
“Semangat mahu berbahasa Melayu sudah layak menerima sanjungan. Menang atau kalah, itu perkara kedua.
“Seruan saya, kita jangan terlalu bangga berbahasa Inggeris atau bahasa lain, malah kita sepatutnya memperkasakan identiti kita yang gagal dimajukan oleh kebanyakan pemimpin negara kita,” katanya kepada Ismawen.net, hari ini.
Lazimnya, calon atau pemenang anugerah FIFA akan hadir di majlis tersebut dengan mengenakan sut lengkap.
Bagaimanapun, Mohd Faiz berkata, sebagai rakyat Malaysia pertama tercalon dalam anugerah berprestij itu, dia seboleh-bolehnya mahu memperkenalkan Malaysia dengan memakai baju Melayu andai ia tidak melanggar kod etika pemakaian majlis berkenaan.
The post Isma puji sikap Faiz Subri mahu tonjol, martabat identiti Melayu di Puskas appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan