Isu Rohingya: Tak patut politikkan Najib, Hadi sepentas
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 5 Rabiulawal 1438H, Isnin – Kerjasama yang melibatkan isu kemanusiaan sejagat termasuk umat Islam tidak sepatutnya dipolitikkan, kata Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya.
Beliau yang mengulas gabungan UMNO dan PAS dalam Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya semalam berkata, usaha yang dilakukan oleh dua parti itu disifatkan sebagai politik matang.
“Sebagai badan bukan kerajaan (NGO) Islam, kita menyokong usaha kedua-dua parti itu untuk bergabung menentang kekejaman yang berlaku terhadap etnik minoriti Rohingya.
“Pada kita, ia dianggap sebagai politik matang,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.
Himpunan solidariti Rohingya yang berlangsung di ibu negara semalam, sekali lagi menemukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di atas satu pentas.
Ia merupakan kali ketiga kedua-dua pemimpin tersebut ditemukan atas satu pentas selepas isu melibatkan Palestin dan Multaqa Serantau anjuran Alumni Al-Azhar Malaysia pada tahun lalu.
Mengulas lanjut Aminuddin berkata, beliau akui perkara itu menjadi bahan utama kepada segelintir pihak untuk ‘menyerang’ PAS dan UMNO yang dikaitkan dengan kerjasama politik.
“Bagaimanapun, itu hak mereka untuk mengaitkan perkara ini dengan politik, namun perkara sebegitu sewajarnya bebas daripada sebarang pengaruh politik,” katanya.
Beliau berkata, isu penindasan dan kekejaman terhadap etnik Rohingya kini berada dalam fasa kritikal, dan ia tidak boleh diselesaikan menerusi cara diplomatik.
“Rakyat dan masyarakat antarabangsa perlu lebih agresif menangani isu ini dengan cara mengadakan solidariti dan terus mendesak supaya ia didengar oleh kerajaan Myanmar,” katanya.
The post Isu Rohingya: Tak patut politikkan Najib, Hadi sepentas appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan