KATA PEDANG: Kami bersama anda mengutuk serangan ke atas gereja
MALAM tadi, Pedang bertemu beberapa rakan yang telah lama tidak bersua muka dan berborak, sambil minum teh halia, menikmati roti canai kari kambing yang popular di KL, tapi kedudukan gerainya agak terpencil.
Seperti biasa, macam-macam isu yang kami bincangkan. Maklumlah, masing-masing pernah bertugas dengan media arus perdana, pernah menjadi kumpulan pemikir (thinkers group) menyusun strategi kepada ahli politik tertentu.
Bila masuk bab Melayu dan Islam, masing-masing pandang Pedang. Pedang pandang semula dan angkat kening. “Ini tentu aku yang kena bagi point,” kata Pedang dalam hati. Memanglah kalau dalam bab Melayu dan Islam ni, Pedang sanggup cakap dari pagi sampai malam.
Macam ada seorang rakan Pedang dalam media juga. Dia boleh dikatakan pakar dalam permainan kriket. Boleh cerita mengenai kriket dari pagi sampai malam. Hingga ada rakan yang berpesan, kalau jumpa dia jangan sebut langsung pasal kriket.
Masuk bab Islam global, maka rakan Pedang tanya apa pendirian Pedang dan ismaweb mengenai pembunuhan yang berlaku terhadap umat Islam dan penganut Kristian, termasuk serangan di gereja di Mesir.
Pedang kata:
Pedang berdiri bersama penganut Kristian Malaysia membantah serangan ke atas gereja sehingga membunuh orang yang tidak berdosa.
Membunuh manusia tanpa alasan yang dibenarkan syariat adalah dosa besar. Allah Taala melarang dengan firman-Nya yang bermaksud, “Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar….. ” (Al-Isra ayat 33)
Dari Abu Hurairah, dari Nabi sallallahu alaihi wasallam, baginda bersabda: “Jauhilah tujuh (dosa) yang membinasakan!” Mereka (sahabat) bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah itu?” Baginda menjawab, “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang Allah haramkan kecuali dengan haq, memakan riba, memakan harta anak yatim, berpaling dari perang yang berkecamuk, menuduh zina terhadap wanita-wanita merdeka yang menjaga kehormatan, yang beriman, dan yang bersih dari zina”. [Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]
Walaupun, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan ke atas sebuah kompleks gereja purba di Mesir, Ahad lalu yang membunuh 25 nyawa tidak bersalah, Pedang mengutuk perbuatan itu. Ia adalah tindakan pengecut dan jijik.
Tidak ada bangsa atau agama, apa lagi umat Islam yang harus bergembira dengan perbuatan menyerang rumah ibadat penganut agama lain sehingga mengorbankan nyawa orang yang sedang beribadat, terutama wanita dan kanak-kanak. Pedang turut simpati kepada keluarga mangsa.
Pernah suatu ketika dahulu, ada militan di Malaysia yang menembak kuil di Batu Caves, cuba bakar gereja. Kita tidak boleh menyokong serangan ke atas rumah ibadat penganut agama lain.
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan….” (Al-An’am ayat 108)
Semua manusia, makhluk, ada hak untuk hidup secara aman. Penganut agama lain di Malaysia, Buddha, Hindu atau Kristian ada hak yang sama. Ada yang menjadi polis, askar. Mereka menjaga keamanan dan keselamatan negara. Pedang berterima kasih kepada mereka kerana semangat dan patriotik untuk melindungi negara Islam.
Penganut Kristian di Palestin pun membantah langkah rejim Zionis mengharamkan umat Islam melaungkan azan di masjid setiap kali masuk solat. Penganut Buddha di Malaysia pun membantah pembantaian kejam kerajaan Myanmar ke atas etnik Rohingya.
“Hai.. dah berubah? Biasanya Pedang dan ismaweb buat kenyataan pedas dan lantang terhadap penganut agama lain?” kata seorang rakan, ketika kami tambah lagi sekeping roti canai.
Tak! Pedang tidak berubah dalam mempertahankan Islam dan Melayu. Pedang kekal dengan niat Pedang untuk berjihad kerana Allah. Bukannya secara ekstremis atau rasis atau taksub membuta tuli, yang menghilangkan pertimbangan waras, membunuh nyawa tidak berdosa, seperti dilakukan IS atau Daesh.
Tetapi! Pedang tetap berpesan kepada orang kafir. Janganlah kamu menghalang atau merosakkan seruan Islam. Ingatlah bahawa di mana bumi kamu pijak di situ langit kamu junjung. Islam berada di tempat tertinggi di Malaysia. Perlembagaan Malaysia telah menyatakannya.
Pemimpin Islam memperkenalkan undang-undang untuk kebaikan Islam, jangan dibantah. Pemimpin Islam membawa undang-undang yang khusus untuk umat Islam, tanpa membabitkan penyembah selain Allah, jangan dihalang dan dipertikai.
Jika cuba menghalang dan membantah, maka Pedang berdiri paling depan untuk mempertahankannya. Sekarang, mungkin Pedang berlawan dengan kata-kata. Pedang takut, suatu masa betul-betul pedang dikeluarkan dari sarungnya. Minta dijauhkan.
“Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.” (Al-Baqarah ayat 190)
Kata Pedang: Agama Allah merangkumi segala-galanya, termasuk undang-undang. Membantah undang- undang Islam yang cuba diperkenalkan atau diperkukuhkan di Malaysia, sama lah dengan memeranginya.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
The post KATA PEDANG: Kami bersama anda mengutuk serangan ke atas gereja appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan