Kenapa Edmund Bon membisu masalah Rohingya, tapi gah isu LGBT?
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
KUALA LUMPUR, 6 Rabiulawal 1438H, Selasa – Wakil Malaysia ke Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR), Edmund Bon Tai Soon digesa agar tidak mengambil sikap ‘double standard’ berhubung isu penindasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar.
Pengerusi Sekretariat UMMAT, Haji Aminuddin Yahya berkata, setakat ini, Edmund tidak pernah membuat sebarang kenyataan yang menunjukkan bantahan dan penentangan terhadap kekejaman yang dilakukan ke atas etnik Rohingya.
“Kami persoalkan wakil Malaysia di ASEAN. Kenapa mereka tidak nyatakan secara tegas pendirian mereka?
“Mengapa dahulu dia boleh bersuara lantang dalam menegakkan hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) sekali gus menyokong penuh kebebasan hak mutlak golongan itu, tetapi mengambil sikap berdiam diri pula dalam isu penindasan etnik minoriti Rohingya ini?
“Walhal, mereka sebenarnya perlu tampil ke depan tanpa ada sikap double standard,” tegasnya pada sidang media menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Seri Anifah Aman menentang genocide ke atas etnik Rohingya di Myanmar, di sini, hari ini.
Haji Aminuddin juga menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk memanggil pulang duta Malaysia ke Myanmar dan meminta duta negara itu meninggalkan negara ini, sekiranya kekejaman ke atas etnik Rohingya berterusan.
Beliau juga berkata, kerajaan perlu segera mengambil pendirian tegas sekali gus menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan ASEAN melakukan tindakan diplomatik sebelum keadaan menjadi lebih parah dan membarah.
Mengulas berkenaan cadangan mewujudkan tribunal atau mahkamah khas pada peringkat antarabangsa bagi menyiasat segala bentuk penindasan dan kezaliman ini, Aminuddin berkata, ianya merupakan salah satu langkah yang perlu dibuat serta dipertimbangkan oleh kerajaan.
“Kalau betul isu ini dipandang serius oleh kerajaan, kalau betul dan benar kerajaan memperjuangkannya. Isu ini perlu dibawa ke International Criminal Court (ICC) untuk dituntut keadilannya,” katanya.
BERITA BERKAITAN:
The post Kenapa Edmund Bon membisu masalah Rohingya, tapi gah isu LGBT? appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan