Krisis di Mosul: Penduduk terpaksa guna air kumbahan
MOSUL, 4 Rabiulawal 1438H, Ahad – Krisis kekurangan air bersih yang semakin teruk di Mosul, Iraq menjejaskan sehingga 650,000 orang awam di bandar itu.
Keadaan itu juga menghalang ribuan keluarga pelarian daripada kembali ke kediaman mereka sekaligus menyekat usaha sepenuhnya untuk membersihkan bandar tersebut daripada kumpulan militan IS.
“Malah, kawasan yang dikuasai semula oleh tentera Iraq juga tiada bekalan air. Tanpa air yang mengalir, kawasan itu mengalami kesukaran untuk dibebaskan dari militan IS,” petik laporan Al Jazeera.
Kekurangan air telah memaksa ribuan rakyat Iraq menjadi pelarian, yang sepatutnya pulang ke kediaman mereka selepas beberapa bandar dirampas semula oleh tentera Iraq daripada IS.
Kebanyakan keluarga yang masih tinggal di pinggir Mosul mengalami kekurangan air bersih sehingga memaksa mereka menggunakan air kumbahan.
“Keadaan terdesak memaksa mereka menggunakan air kumbahan.
“Kerajaan dan agensi bantuan sedang menghantar lori tangki air sebagai langkah sementara tetapi ia tidak mencukupi,” lapor Al Jazeera.
Awal minggu ini, 40 peratus penduduk Mosul terjejas selepas bekalan air bersih dipotong ekoran daripada kerosakan paip utama ketika pertempuran antara IS dan tentera kerajaan.
Agensi kanak-kanak PBB, UNICEF berkata, kerosakan paip utama itu terletak di bahagian yang tidak boleh diakses ekoran kawalan oleh IS.
“Jika air mengalir tidak dipulihkan, orang awam akan dipaksa menggunakan sumber air yang tidak selamat, mendedahkan kanak-kanak kepada risiko penyakit seperti cirit-birit yang teruk dan ancaman kekurangan zat makanan,” kata UNICEF.- Agensi
The post Krisis di Mosul: Penduduk terpaksa guna air kumbahan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan