Mangsa banjir di Kelantan kekal 26 orang
KOTA BHARU, 3 Rabiul Awal 1438H, Sabtu – Mangsa banjir di Pasir Puteh kekal 26 orang pagi ini, menurut portal rasmi kerajaan Kelantan.
Menurut portal http://ift.tt/1lUz7IE, kesemua mangsa yang berasal dari Kampung Tasek, kini ditempatkan di pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Wakaf Raja, melibatkan lima lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
Mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan itu selepas rumah mereka dinaiki air sedalam 0.5 meter sejak pagi semalam selepas air sungai Kampung Tasek melimpahi tebing akibat hujan berterusan sejak dua hari lepas.
Sementara itu, menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat 8 pagi ini, paras air di Sungai Golok, Rantau Panjang di Pasir Mas semakin meningkat kepada 8.75 meter berbanding 8.25 meter pada 8 malam tadi (paras amaran 8 meter).
Selain itu, Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah turut meningkat kepada 13.82 meter pagi ini berbanding 13.58 meter malam tadi (paras berjaga-jaga 12 meter).
Sungai lain masih berada di paras normal. – Bernama
The post Mangsa banjir di Kelantan kekal 26 orang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan