Najib berbohong atas nama Islam, kata Muhyiddin
BANGI, 5 Rabiulawal 1438H, Isnin – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah melakukan pembohongan atas nama Islam apabila meminta ahli UMNO berbaiah dan memberi wala’ kepadanya secara membuta tuli.
“Presiden UMNO menuntut seluruh ahli berbai’ah dan memberi wala’ kepadanya secara membuta tuli dan tanpa soal. Kononnya itulah tradisi di dalam UMNO dan amalan orang Melayu yang kuat pegangannya kepada Islam.
“Bagi saya Najib Razak sedang tenat. Bagi seorang yang boleh berbohong tentang sumber wang berbilion ringgit di dalam akaunnya, maka dia juga telah berbohong atas nama agama Islam,” katanya dalam kenyataan mengulas Perhimpunan Agung UMNO (PAU), baru-baru ini.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berkata, PAU baru-baru ini telah menjadi kancah Presiden UMNO membela diri, berbanding membicarakan hal-hal berkaitan kedudukan orang Melayu, agama Islam, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, dalam Islam tiada konsep wala’ terhadap pemimpin yang melakukan kemungkaran, malah Islam menganjurkan umatnya supaya mencegahnya sebagai tanda beriman kepada Allah.
Mengenai ucapan Najib yang merujuk kepada kedudukan Rasulullah SAW dan Khalifah Islam yang mulia di sisi agama dan mesti ditaati, Muhyiddin berkata, Sayyidina Abu Bakar dan Sayyidina Umar, menyeru kepada sahabat lain supaya menegur jika mereka melakukan kesalahan dan tidaklah wajib kedua-dua mereka ditaati sekiranya mereka melakukan kesalahan di sisi agama.
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata, berbeza dengan ucapan dan tindakan Najib di mana beliau sama sekali tidak boleh menerima teguran, malah menghukum orang yang menegurnya.
“Sekarang, beliau menagih simpati dan ketaatan yang membuta tuli kononnya itulah ajaran Islam. Adakah Islam mengajar kita untuk mentaati seorang pemimpin melakukan kemungkaran dengan terang-terangan merompak wang rakyat tanpa rasa bersalah walau sedikit pun? Sebenarnya, Najib telah berbohong atas nama Islam!,” katanya.
Muhyiddin berkata, perwakilan UMNO dan orang Melayu tidak akan lupa bahawa Najib sedang terpalit dengan skandal kewangan terbesar yang tidak pernah dilakukan oleh mana-mana Presiden UMNO dan Perdana Menteri sebelum ini.
Katanya, tidak pernah seorang Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia sebelum ini diketahui menyimpan sejumlah RM2.6 bilion dalam akaun peribadi yang dipercayai dicuri daripada kantung syarikat milik negara.
“Dirinya disebut puluhan kali dalam Laporan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat berhubung siasatan ke atas kehilangan wang USD3.5 bilion dolar daripada syarikat milik negara; anak tirinya disiasat atas dakwaan menerima wang ratusan juta dolar hasil rompakan khazanah negara.
“Tidakkah terlintas di benak fikiran kita Presiden Umno dan Perdana Menteri ini gayanya seperti seorang diktator sebuah negara dunia ketiga yang teramat korup?.
“Lebih malang lagi, Presiden Umno ini menggunakan alasan agama dan bangsa untuk menutup segala kemungkaran dan kesalahannya. Orang Melayu ditakut-takutkan kononnya jika Umno kecundang di dalam pilihanraya, maka hancurlah bangsa Melayu,” katanya.
Muhyiddin berkata, jika UMNO tumbang, calon Melayu yang terdiri daripada BERSATU, PAS, PKR dan PAN akan tetap menjadi Perdana Menteri, bukan orang Melayu daripada DAP.
The post Najib berbohong atas nama Islam, kata Muhyiddin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan