Najib minta semua pihak tidak politikkan RUU 355
KUALA LUMPUR, 1 Rabiul Awal 1438H, Khamis – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta semua tidak mempolitikkan isu pindaan Rang Undang-Undang 355, berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 yang diusulkan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ini kerana katanya, RUU 355 adalah satu usul persendirian yang kemudiannya akan diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan.
“Kerajaan indukan UMNO telah membuat satu ketetapan bersejarah, apabila pada 24 November 2016 yang lalu, setelah dirunding bersama rakan-rakan dari parti PAS.
“Maka pindaan Rang Undang-Undang 355, berkaitan Akta Mahkamah Syariah, Bidang Kuasa Jenayah 1965 telah dibacakan.
“Kepada yang bukan beragama Islam, usahlah bimbang, kerana tidak akan tertakluk di bawahnya dan Kerajaan sedang mengkaji dengan halus agar tidak berlakunya unsur penghukuman dualisme,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Puteta (PWTC) hari ini.
Hadi minggu lalu membentangkan RUU 355 di Dewan Rakyat yang bertujuan untuk menggantikan peruntukan dalam undang-undang sedia ada.
Katanya, jika berjaya dipinda, Mahkamah Syariah akan mempunyai kuasa ke atas penganut agama Islam dan dalam hal-hal kesalahan di bawah perkara yang disenaraikan dalam butiran 1 Senarai Negeri, di bawah jadual kesembilan Undang-Undang Persekutuan.
Selain itu jelas Hadi, ia juga bertujuan untuk memasukkan seksyen 2A iaitu dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah seksyen 2, Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan, selain hukuman mati.
The post Najib minta semua pihak tidak politikkan RUU 355 appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan