OIC bakal adakan mesyuarat bincang isu Rohingya
ISKANDAR PUTERI, 6 Rabiulawal 1438H, Selasa – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat peringkat Menteri Luar dalam tempoh terdekat bagi membincangkan isu penghapusan etnik Rohingya di Myanmar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia akan berurusan dengan sekretariat OIC berhubung perkara itu.
“Perhimpunan yang kita adakan Ahad lalu didengari OIC dan mereka akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan apa yang menimpa etnik Rohingya.
“Apa yang kita lakukan ketika perhimpunan itu bukan tunjuk perasaan kerana kita berhimpun secara aman mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Ulang Tahun ke-10 Iskandar Malaysia (IM10) di sini, hari ini.
Sebelum ini, dalam Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa, Najib mendesak badan antarabangsa serta negara komuniti ASEAN mengambil tindakan dalam menghentikan kekejaman dan penindasan terhadap etnik Rohingya di Myanmar.
Beliau meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan OIC supaya tidak sekadar menyaksikan kekejaman berlaku, sebaliknya mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.
The post OIC bakal adakan mesyuarat bincang isu Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan