PBB tubuh panel kumpul bukti jenayah perang Syria

NEW YORK, 22 Rabiulawal 1438H, Khamis – Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bersetuju menubuhkan panel bagi mengumpul bukti jenayah perang di Syria.

Panel itu adalah sebagai langkah pertama ke arah mendakwa mereka yang bertanggungjawab ke atas kekejaman yang hampir berlarutan selama enam tahun.

Panel berkenaan akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Siasatan PBB yang telah mengemukakan beberapa laporan yang memperincikan kekejaman yang dilakukan ketika perang – menyebabkan 310,000 orang terkorban.

Resolusi kepada mewujudkan mekanisme penyiasatan telah diterima semalam dalam perhimpunan 193 buah negara dengan undian 105-15 dengan 52 berkecuali.

Dalam masa yang sama, masyarakat sivil juga telah menyusun dokumen, senarai saksi dan rakaman video yang boleh digunakan dalam mahkamah undang-undang.

Langkah yang disediakan oleh Liechtenstein itu ditaja bersama 58 negara termasuk Amerika Syarikat, Perancis, Britain, Itali, Jerman serta kuasa-kuasa serantau Turki, Arab Saudi dan Qatar.

Duta Liechtenstein, Christina Wenaweser berkata, resolusi itu akan menangani kegagalan Majlis Keselamatan untuk memastikan mereka yang bertanggungjawab terhadap jenayah berat itu dibawa ke muka pengadilan.

“Kami akhirnya mengambil satu langkah yang bermakna untuk memenuhi harapan kita yang telah gagal untuk tempoh masa yang panjang,” kata Wenaweser.

Bagaimanapun, Rusia, China dan Iran adalah antara negara yang menentang langkah itu. – Agensi

The post PBB tubuh panel kumpul bukti jenayah perang Syria appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?