Pembatalan caj visa haji, umrah khabar gembira buat umat Islam
BANGI, 6 Rabiulawal 1538H, Selasa – Langkah pembatalan yuran baharu visa haji dan umrah oleh kerajaan Arab Saudi disifatkan sebagai berita baik untuk jemaah Islam negara ini.
Presiden Persatuan Agensi-Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Harith Mohd Ali berkata, ini kerana yuran dikenakan sebanyak 2,000 riyal (RM2,367.86) sebelum ini adalah mahal dan membebankan orang Islam yang ingin mengerjakan haji dan umrah untuk kali kedua.
“Orang Islam di negara ini boleh dikatakan antara jemaah tegar yang mengerjakan ibadah haji dan umrah.
“Bayangkan, jika lima jemaah mahu lakukan (haji dan umrah) buat kali kedua, lebih RM10,000 perlu dibayar. Ini amat membebankan,” katanya dipetik Berita Harian.
Dalam pada itu, beliau berkata, dengan keadaan ekonomi yang mencabar mutakhir ini selain susut nilai mata wang ringgit, pengisytiharan pembatalan yuran itu sekurang-kurangnya dapat membantu mengurangkan kos jemaah dan kos operasi syarikat perlancongan.
Sementara itu, walaupun masih belum menerima sebarang surat rasmi berhubung pengiytiharan pembatalan yuran visa itu, Pengerusi Ekekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd, Datuk Md Daud Che Ngah berkata, jika betul, tiada lagi ‘sekatan’ untuk umat Islam mengerjakan haji dan umrah kali kedua.
“Walaupun berita itu memberi kesan positif kepada industri, ia bagaimanapun menyusahkan umat Islam serta pengenalan yuran visa itu dianggap bertentangan dengan asas pembinaan Kaabah yang bertujuan mengajak umat Islam berkunjung ke sana,” katanya.
Sebelum ini, peraturan baharu yuran visa haji dan umrah diumumkan oleh Majlis Menteri-Menteri Arab Saudi yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Dalam Negeri, Putera Mahkota Muhammad Bin Naif pada Ogos lalu.
Bagaimanapun, Sabtu lalu, pemimpin Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz mengistiharkan pembatalan yuran baharu visa haji dan umrah mulai tahun ini susulan protes dari warga Mesir dan negara Islam lain kerana dianggap mahal.
BERITA BERKAITAN
The post Pembatalan caj visa haji, umrah khabar gembira buat umat Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan