Portal The Heat Malaysia henti operasi
KUALA LUMPUR, 1 Rabiul Awal 1438H, Khamis – Portal berita The Heat Malaysia mengumumkan pemberhentian operasinya semalam, selepas hanya setahun diterbitkan secara digital dan atas talian sepenuhnya.
Menerusi pengumuman di laman webnya, kakitangan portal itu berkata, mereka dimaklumkan langkah itu ialah “keputusan perniagaan”.
“Kakitangan The Heat Malaysia telah dimaklumkan bahawa portal ini akan berhenti beroperasi pada 1 Disember.
“Kami telah berusaha membangkitkan apa yang salah, dan menjadi suara kepada mereka yang tidak dapat bersuara. Suara itu sudah tiada lagi.
“The Heat Malaysia bukan yang pertama, atau akan menjadi yang terakhir kehilangan suara itu,” menurut pengumuman itu.
Media itu bermula sebagai akhbar cetak diterbitkan secara mingguan pada 2013, dan pernah digantung pihak berkuasa di bawah Akta Media Cetak dan Penerbitan tahun yang sama.
Penggantungan itu dibatalkan pada tahun berikutnya, tetapi syarikat media berkenaan beralih kepada operasi digital sepenuhnya pada 2015.
The Heat Malaysia menjadi portal media ketiga yang menghentikan operasi mereka selain The Malaysian Insider dan Bloomberg TV Malaysia tahun ini.
The post Portal The Heat Malaysia henti operasi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan