Sistem pencegahan kebakaran hospital perlu fungsi dengan baik
SHAH ALAM, 2 Rabiul Awal 1438H, Jumaat – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan bahawa pihak pengurusan perlu memastikan kemudahan dan kelengkapan peralatan hospital termasuk sistem pencegahan kebakaran sentiasa berada dalam keadaan baik.
Titah baginda, setiap perkhidmatan fasiliti di hospital lama perlu diberi perhatian supaya ia berfungsi dengan baik dan tidak mendatangkan risiko kepada pesakit dan petugas.
“Setiap peralatan yang rosak hendaklah diganti segera dan kakitangan hospital perlu sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan atau situasi kecemasan,” titah baginda ketika merasmikan Hospital Shah Alam, di sini, semalam.
Selain itu, baginda turut menitahkan agar doktor dan pakar perubatan supaya terus berkhidmat di hospital dan pusat perubatan kerajaan bagi mencurahkan jasa dan bakti mereka kepada rakyat.
“Hanya di hospital kerajaan sahajalah rakyat jelata dapat memperolehi rawatan dan kepakaran dengan lebih murah dan berkesan,” titahnya.
Turut berangkat, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Hospital bernilai RM550 juta itu siap pada Ogos tahun lepas dengan dilengkapi 300 buah katil selain 10 dewan bedah dan 20 bilik bersalin. – Bernama
The post Sistem pencegahan kebakaran hospital perlu fungsi dengan baik appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan