SPAD benarkan bas ekspres asingkan penumpang ikut jantina
Sumber foto: BH Plus
KUALA LUMPUR, 1 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar membenarkan operator bas ekpres untuk memperkenalkan peraturan seperti pengasingan tempat duduk mengikut jantina jika terdapat keperluan untuk melakukannya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai polisi yang ditetapkan syarikat bas TransMalaya Ekspres baru-baru ini.
Katanya, SPAD tidak mahu campur tangan dalam urusan seperti itu dan menjelaskan bahawa pihaknya tidak perlu untuk bertindak melainkan melibatkan isu-isu seperti kualiti perkhidmatan atau tambang yang dikenakan.
“Kami tidak meletakkan spesifikasi tertentu kepada operator kami tentang cara mereka menguruskan tempat duduk dan bagaimana mereka perlu jalankan perniagaan mereka. Kami tidak mahu terlebih urus perkara yang luar bidang kawalan,” katanya.
“Jika syarikat itu merasakan peraturan itu perlu untuk menangani masalah sedia ada, maka mereka sepatutnya dibenarkan untuk menetapkan keputusan tersebut.
“Biarlah syarikat-syarikat bas ekspres dan operator kereta api ini melakukan apa yang mereka rasakan terbaik,” katanya.
Rabu lalu, Noorlini Ramli, pengusaha dan pemilik KRZ Management Sdn Bhd yang menguruskan TransMalaya Ekspres berkata bahawa keputusan itu demi keselesaan penumpang perempuan dan juga dibuat selepas terdapat aduan mengenai gangguan seksual terhadap kumpulan tersebut.
Polisi tersebut turut mewajibkan pasangan Muslim untuk menunjukkan sijil pernikahan sebagai bukti untuk dibolehkan mereka duduk bersama, dan dikenakan terhadap semua penumpang tanpa mengira agama.
Kata Noorlini, inisiatif tersebut diambil berdasarkan pengalaman negatifnya sendiri menaiki bas seorang diri tanpa teman dan menjadi saksi pasangan kekasih melakukan perbuatan yang tidak sopan di dalam bas.
Malah, beliau berkata, keputusan itu diterima baik oleh penumpang daripada semua bangsa dan agama.
The post SPAD benarkan bas ekspres asingkan penumpang ikut jantina appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan