Tiada kerjasama politik, UMNO tetap saingan utama PAS: Tuan Ibrahim
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 5 Rabiulawal 1438H, Isnin – Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar tuduhan sesetengah pihak yang berterusan mendakwa kerjasama politik dijalinkan oleh parti itu dengan musuh tradisinya, UMNO.
Menyifatkan perkara itu sebagai fitnah, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa kerjasama politik antara parti pada dasarnya melibatkan rundingan pembahagian kerusi.
“UMNO tidak mungkin dapat mengizinkan sebilangan kerusi-kerusi yang dimenangi mereka ke tangan PAS begitu sahaja.
“…..dan sudah pastinya PAS juga tidak akan melepaskan kerusi-kerusi menangnya yang jumlahnya jauh lebih kecil berbanding apa yang UMNO ada.
“Oleh itu, adalah mustahil bagi PAS dan Umno mengadakan kerjasama politik dan mereka yang mencanangkan adanya kerjasama politik antara PAS dan Umno hanyalah fitnah,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Mengulas lanjut katanya, sejarah membuktikan bahawa PAS adalah saingan utama kepada UMNO, terutamanya dalam isu berkaitan Islam serta kebajikan rakyat.
“Contohnya, PAS di Kelantan mendahului pelbagai perubahan seperti sistem kerja lima hari, cuti bersalin 60 hari, pemberian khairat kematian dan kebajikan lain yang akhirnya terpaksa ditiru oleh kerajaan Umno.
“Hari ini PAS juga mengemudi RUU 355 dan bantahan terhadap penindasan Rohingya (untuk makluman semua, hari ini adalah kali ketiga PAS berhimpun untuk Rohingya), dan akhirnya UMNO turut serta menyatakan sokongan terhadap RUU 355 dan juga bantahan kepada Rohingya.
“Jika PAS bukan saingan, masakan UMNO akan mengikuti rentak PAS?,” katanya.
The post Tiada kerjasama politik, UMNO tetap saingan utama PAS: Tuan Ibrahim appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan