Tiada pengamal perubatan kerajaan terlibat dalam sindiket jual bayi: Dr Hilmi
BALIK PULAU, 6 Rabiulawal 1438H, Selasa – Kementerian Kesihatan mengesahkan tiada pengamal perubatan kerajaan yang terlibat dalam sindiket menjual bayi seperti yang didakwa dalam dokumentari sebuah stesen televisyen antarabangsa baru-baru ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, beliau diberitahu bahawa perkara tersebut hanya melibatkan rumah jagaan ibu dan bayi.
Beliau berkata, namun siasatan lanjut masih dijalankan dan sekiranya terdapat pegawai kementerian terlibat, tindakan tegas akan diambil termasuk menamatkan perkhidmatan mereka.
“Saya difahamkan bahawa kegiatan penjualan bayi didalangi pihak swasta termasuk mereka yang berselindung di bawah pusat perlindungan gadis-gadis yang terlanjur dan hamil sebelum berkahwin.
“Sindiket ini telah menjadikan perkara itu sebagai satu perniagaan di mana pada mulanya mereka akan bertindak untuk membantu ibu-ibu mengandung khususnya ibu tunggal untuk mendaftarkan bayi sebelum mencari pembelinya,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.
Dr Hilmi diminta mengulas mengenai sebuah program Al Jazeera bulan lepas yang melaporkan wujud sindiket penjualan bayi di Malaysia.
Beliau berkata, kes jualan bayi terletak di bawah bidang kuasa pihak polis yang sedang menjalankan siasatan.
Katanya, pihak kementerian tersebut turut memandang serius kegiatan tersebut dan pemantauan serta siasatan sentiasa dijalankan bagi memastikan tiada pegawai perubatan kerajaan yang terlibat.
“Malah kami juga sedang memantau dan mengenal pasti beberapa klinik dan pihak-pihak tertentu yang dipercayai terlibat dengan kegiatan penjualan bayi,” katanya.
Tambahnya, sindiket berkenaan adalah licik dan ada antara mereka yang meyakinkan bahawa mereka hanya sekadar menolong waris bayi untuk membuat pendaftaran kelahiran dan menguruskan dokumentasi pengambilan anak angkat. – Bernama
The post Tiada pengamal perubatan kerajaan terlibat dalam sindiket jual bayi: Dr Hilmi appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan