UPSR: Kementerian perlu konsisten, jangan jadikan murid bahan eksperimen
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 20 Rabiulawal 1438H, Selasa – Kementerian Pelajaran perlu konsisten terhadap sebarang pelaksanaan dasar baharu dalam sistem pendidikan di Malaysia bagi mengelakkan kekeliruan kepada ibu bapa dan murid.
Timbalan Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (I-Guru), Ustaz Azizee Hasan berkata, sesuatu dasar baharu sepatutnya diguna pakai dalam tempoh masa tertentu, sekurang-kurang lima hingga 10 tahun bagi mengukur keberkesanannya.
Beliau yang mengulas usaha kerajaan untuk menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kepada Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), mengingatkan kementerian supaya tidak menjadikan murid sebagai bahan eksprimen terhadap dasar baharu yang diperkenalkan.
“Sesuatu dasar perlu diteruskan dalam tempoh tertentu sehinggalah dasar baharu boleh dibentuk. Jika kerajaan menukar dasar sebelum sampai tempoh matang, kerajaan tidak dapat mengukur sama ada sistem itu berkesan atau tidak.
“Kita juga harap kementerian tidak mempolitikkan sistem pendidikan negara, apabila bertukar menteri, maka bertukar jugalah dasar. Sehinggakan mahu menunjukkan kelemahan menteri sebelum ini, kita pun menukar dasar yang sedia ada yang diperkenalkan menteri itu,” katanya ketika dihubungi Ismaweb, hari ini.
Mengulas lanjut, Ustaz Azizee berkata, I-Guru bagaimanapun menyokong usaha Kementerian Pelajaran mahu memperkasakan sistem pendidikan negara dalam memperkenalkan PBS.
Jelasnya, pelaksanaan PBS yang dijangka lima tahun lagi itu akan mengubah konsep UPSR yang hanya menilai murid berdasarkan kecemerlangan akademik semata-mata.
“Pentaksiran itu tidak sama dengan sistem yang ada sebelum ini, yang akan melahirkan pelajar berfikiran kritis dan kreatif bersesuaian dengan pembelajaran abad-21.
“PBS berbeza dengan cara penilaian dahulu yang lebih memfokuskan kepada penilaian holistik yang tidak terhad kepada penilaian secara bertulis,” katanya.
Beliau ketika diminta mengulas berhubung penurunan prestasi calon UPSR 2016 berkata, sukar untuk membuat perbandingan terhadap format baharu yang digunakan pada tahun ini ekoran ia pertama kali dilaksanakan.
Namun katanya, ia mungkin boleh dilihat perbezaannya dengan membandingkah prestasi bagi tahun hadapan (UPSR 2017) kerana terlalu awal jika ia dinilai pada kali pertama dilaksanakan.
“Ini tahun pertama menggunakan format dan pentaksiran baru, mungkin standard kualiti dia bukan berdasarkan kepada peratusan calon yang memperoleh A berdasarkan graf.
“Kini dah ditetapkan bahawa 90 akan dapat A, dan mereka yang kurang daripada markah itu tidak mendapat A. Kalau dulu ia mengikut graf, mungkin boleh jadi 80 boleh dapat A, 85 dapat A………berdasarkan itulah menyebabkan bilangan murid yang memperoleh semua A berkurang,” katanya.
The post UPSR: Kementerian perlu konsisten, jangan jadikan murid bahan eksperimen appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan