SPAD tubuh makmal bas tingkat keselamatan industri bas: Nancy Shukri


PUTRAJAYA, 6 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menubuhkan Makmal Bas bulan depan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, keselamatan dan kemampanan industri bas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, makmal itu juga akan mengambil kira model perniagaan, cara-cara menangani kekurangan pemandu dan usul-usul bagi memperbaiki kebajikan pemandu.

Dalam satu kenyataan di sini, beliau berkata, makmal bas itu akan memberi tumpuan kepada pendekatan teknologi, polisi, syarat-syarat pelesenan serta peningkatan mutu terminal dan infrastruktur.

“Makmal Bas ini akan melibatkan penglibatkan serta pandangan pihak berkepentingan di dalam industri termasuk orang awam dari seluruh Semenanjung Malaysia.

“Kerajaan memandang serius terhadap sebarang tragedi jalan raya yang berlaku tanpa mengira sama ada kemalangan tersebut adalah kecil atau pun besar,” katanya.

Berhubung kemalangan bas ekspres di Pagoh, Johor yang mengorbankan 14 nyawa, awal pagi 24 Dis lalu, Nancy berkata siasatan terperinci telah dimulakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

Justeru, beliau menggesa media dan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi sementara menunggu hasil siasatan.

“Kerajaan melalui agensi-agensi yang berkaitan akan terus bekerjasama dengan pengendali bas ekspres, persatuan-persatuan, agensi dan pemegang kepentingan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan bas ekspres serta keselamatan penumpang,” tambahnya.

Nancy juga memberi amaran kepada semua syarikat bas ekspres agar memberikan keutamaan kepada segala aspek keselamatan pemanduan dan keselamatan penumpang.

Ini termasuk melakukan pemeriksaan terhadap keadaan pemandu sebelum memulakan perjalanan lebih-lebih lagi menjelang cuti perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, katanya.

“Saya telah mengarahkan SPAD untuk menggandakan audit berasaskan risiko ke atas pengendali-pengendali bas ekspres bagi memastikan pematuhan ke atas Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP) demi keselamatan penumpang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memuji beberapa pengendali bas ekspres yang boleh dijadikan contoh bagi meningkatkan tahap prestasi industri berdasarkan rekod perkhidmatan dan keselamatan yang cemerlang.

Nancy berkata, orang ramai serta penumpang bas ekspres boleh buat aduan kepada SPAD sekiranya mendapati pemanduan tidak selamat menerusi hotline 24 jam SPAD 1-800-88-7723 atau melalui Twitter kepada @aduanSPAD.  – Bernama

The post SPAD tubuh makmal bas tingkat keselamatan industri bas: Nancy Shukri appeared first on Portal Islam dan Melayu.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?