Aman Palestin sasar kutipan RM36 juta untuk pembangunan Palestin
BANGI, 27 Jamadilawal 1438H, Jumaat – Aman Palestin Berhad (APB) menyasarkan kutipan sumbangan sebanyak RM36 juta bagi melaksanakan rancangan projek pembangunan untuk Palestin bagi tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif APB, Awang Suffian Awang Piut berkata, sasaran itu adalah hasil daripada rangka-rangka projek yang bakal dilaksanakan sepanjang 2017 dan mengambil kira kejayaan capaian sumbangan yang diperolehi pada tahun lepas.
“Tahun lalu, kita menyasarkan sumbangan sebanyak RM25 juta untuk disalurkan kepada Palestin. Dan kita berjaya mencapai sasaran itu malah lebih daripadanya.
“Jadi, kita berani untuk meletakkan sasaran yang lebih tinggi bagi tahun ini, dan kita yakin ia juga mungkin berjaya meskipun keadaan ekonomi negara yang tidak menentu,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Katanya, beliau mengagumi sifat dermawan yang berterusan ditonjolkan oleh rakyat Malaysia, sekali gus menyifatkan usaha dan komitmen mahu membantu Palestin yang teruk ditindas oleh rejim Israel.
Mengulas lanjut Awang Suffian berkata, APB merancang beberapa pembangunan penting dan pembiayaan kepada rakyat Palestin merangkumi bajet yang disasarkan tahun ini, terutama di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.
“Infrastruktur dan pembangunan manusia adalah fokus utama. Memberi nafas baru kepada projek-projek berskala besar juga antara tumpuan bajet pada tahun ini.
“Pembinaan Sekolah Tahfiz Malaysia, pembinaan semula Masjid As-Syafie dan Masjid Al-Qasam merangkumi projek berskala besar,” katanya.
Sementara itu katanya, APB masih meneruskan sumbangan kepada rakyat di Syria yang teruk terjejas kepada konflik perang saudara dan akan terus mendapat perhatian daripada NGO kemanusiaan itu.
“Kempen Aid For Syria masih terus berlanjutan sehingga berakhir musim sejuk yang dijangka pada bulan April ini. Sebanyak RM500,000 telah berjaya disalurkan kepada rakyat Syria terutama kem-kem pelarian di Turki,” katanya.
Pada masa sama, Aman Palestin turut melancarkan kempen Tabung Ramadan Kareem yang telah bermula fasa pertamanya pada 15 Februari lalu sehingga 15 Mei ini.
Turut hadir pada sidang ialah Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin cawangan Gaza, Omar Seyam dan Pengarah Media APB, Anas Abdul Wahab.
The post Aman Palestin sasar kutipan RM36 juta untuk pembangunan Palestin appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan