Anak Exco Johor antara terbabit tukar status rumah milik Bumiputera
KUALA LUMPUR, 30 Jamadilawal 1438H, Isnin – Enam lelaki yang ditahan terlibat rasuah dan penyelewengan hartanah di Johor dipercayai terbabit dalam penukaran status rumah-rumah Bumiputera kepada bukan Bumiputera.
Antara yang ditahan itu ialah anak dan pembantu khas kepada Ahli Exco Negeri yang menjadi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abdul Latif Bandi – Ahmad Fauzan Hatim Abdul Latif serta Muhammad Idzuan Jamalludin.
Difahamkan, aktiviti penukaran status itu dibuat sejak tahun 2013 melibatkan beberapa pemaju di Johor sehingga menyebabkan mereka yang layak untuk mendapat rumah status Bumiputera tidak mampu untuk membeli rumah.
Sumber berkata, apabila penukaran status diluluskan dan dilaksanakan, mereka yang berstatus Bumiputera dan masyarakat yang berpendapatan rendah tidak mampu memiliki rumah sendiri.
“Penukaran status itu dilakukan kerana apabila rumah-rumah berstatus Bumiputera ditukar kepada bukan Bumiputera, harga sesebuah rumah itu akan meningkat sebanyak beberapa kali ganda daripada harga asal.
“Ini sekali gus akan menguntungkan pihak pemaju dan mereka yang terlibat dalam aktiviti itu tetapi yang terseksa adalah masyarakat yang ingin memiliki rumah sendiri,” katanya.
Sumber itu turut memberitahu, modus operandi pemaju terbabit untuk menukar status berkenaan adalah dengan menyorokkan hampir 30 peratus kuota yang disediakan untuk pembeli Bumiputera daripada senarai dengan mendaftarkan nama pekerja mereka yang mempunyai status Bumiputera.
Kemudiannya, pemaju akan membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk menukar rumah-rumah berstatus Bumiputera kepada bukan Bumiputera dengan alasan rumah-rumah itu tidak berjaya dijual.
“Walhal apabila ditanya pembeli, pemaju akan memberi alasan rumah-rumah berstatus Bumiputera telah habis dijual,” katanya.
Difahamkan, SPRM juga sudah mengambil kenyataan Abdul Latif.
Mengesahkan perkara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika berkata, pihaknya sedang menyiasat kewujudan penipuan dalam penukaran status Bumiputera kepada bukan Bumiputera.
“Ketika ini SPRM masih dalam proses menggeledah pejabat suspek untuk mendapatkan dokumen-dokumen bagi membantu pasukan siasatan mengumpul lebih banyak maklumat berhubung penipuan tersebut.
“Saya tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan ditangkap berhubung siasatan kes ini,” katanya.
The post Anak Exco Johor antara terbabit tukar status rumah milik Bumiputera appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan