Angka kehadiran cuma lahiriah, apa yang penting keimanan: Tuan Ibrahim
KUALA LUMPUR, 23 Jamadilawal 1438H, Isnin – Dakwaan penentang Himpunan 355 yang dijalankan di ibu negara semalam bahawa tidak ramai menyertai perhimpunan itu adalah tidak relevan kata, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, angka cuma gambaran lahiriah, namun iman menuntut keyakinan walau seorang diri.
“Sejak semalam ramai yang meneka berapa jumlah kehadiran peserta Himpunan 355.
“Tak perlu bergaduh dengan jumlah kerana ratusan ribu atau jutaan lagi penyokong yang tidak dapat hadir, begitu juga yang menentang.
“Kebenaran bukan kerana ramai yang sokong, kerana bala tentera Firaun lebih ramai dari Nabi Musa dan pengikutnya. Demikian Nabi Nuh berbanding penentangnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan, hukum Allah swt tetap wajib dilaksanakan bukan kerana ramai yang menyokong, tetapi kerana ia adalah perintah Allah.
“Kebenaran perlu diajak dan kebatilan perlu ditentang walau seorang diri. Teruskan tabah, sabar dan istiqamah mempertahankan syariat Allah,” katanya.
PAS mengadakan Himpunan 355 di ibu negara yang disertai seramai 300,000 peserta bagi menunjukkan sokongan umat Islam ke atas cadangan meminda Akta 355 bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah.
Usaha PAS itu dikecam gabungan parti pembangkang Pakatan Harapan yang dibarisi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).
The post Angka kehadiran cuma lahiriah, apa yang penting keimanan: Tuan Ibrahim appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan