Betulkan salah fakta sejarah Yap Ah Loy buka KL, kata Naib Presiden Isma
Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 23 Jamadilawal 1438H, Isnin – Fakta yang disebut oleh Profesor Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim berkenaan pembuka Kuala Lumpur iaitu Raja Puasa perlu dimasukkan ke dalam buku teks sejarah.
Naib Presiden Isma, Abdul Rahman Mt Dali berkata, perkara ini adalah penting bagi menolak naratif sejarah yang selama ini menyebut bahawa Yap Ah Loy sebagai pembuka Kuala Lumpur sedangkan dia hanyalah kapitan Cina yang ketiga di Kuala Lumpur.
“Sejarawan telah mendatangkan fakta dan sepatutnya ia perlu dimasukkan dalam buku-buku sejarah.
“Selain itu, Khoo Kay Kim sendiri perlu meminta ia dimasukkan dalam buku teks sejarah di sekolah, jika tidak, kredibilitinya sebagai sejarawan negara boleh dipertikai,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb hari ini.
Pada minggu lalu, pakar sejarah Profesor Khoo Kay Kim memberitahu bahawa Sultan Puasa merupakan orang yang layak dianggap sebagai pembuka Kuala Lumpur, bukannya Yap Ah Loy mahupun Raja Abdullah.
Abdul Rahman berkata, masyarakat perlu diberikan fakta sejarah yang betul dan bersandarkan bukti kukuh agar tiada kekeliruan berlaku.
“Fakta salah mesti dibetulkan. Kalau ada bukti, ia mesti dimasukkan dalam buku sejarah bagi mengelakkan masalah pada akan datang.
“Pembetulan ini bukan hanya pada buku teks sekolah, tapi juga di semua media cetak dan elektronik perdana supaya semua rakyat Malaysia menyedari fakta salah yang difahami selama ini.
“Aspek sejarah perlu ditekankan supaya masyarakat menghargai apa yang mereka ada pada hari ini,” katanya.
Abdul Rahman juga meluahkan rasa pelik mengapa Khoo Kay Kim baru memberitahunya kepada umum.
“Aneh untuk difahami bahawa Khoo Kay Kim sebagai sejarawan baru tahu atau baru memberitahu siapa sebenarnya yang membuka Kuala Lumpur, dan berdiam diri apabila perkara salah ini dibiarkan dalam buku teks seterusnya disalah tanggap oleh rakyat Malaysia berdekad-dekad lamanya,” katanya lagi.
Dalam catatan sejarah, Raja Puasa atau Sutan Puasa merupakan seorang pelombong yang datang ke Kuala Lumpur dan berasal dari Mandailing.
The post Betulkan salah fakta sejarah Yap Ah Loy buka KL, kata Naib Presiden Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan