Korea Selatan pertingkat kawalan hadapi provokasi Korea Utara
SEOUL, 25 Jamadilawal 1438H, Rabu – Korea Selatan kini sedang mempertingkatkan kawalan keselamatan bagi menghadapi kemungkinan provokasi ketenteraan oleh Korea Utara bagi mengalih perhatian terhadap kes pembunuhan abang pemimpinnya, Kim Jong-un.
Pegawai Ketua Turus Bersama Korea Selatan, yang mahu identitinya dirahsiakan berkata, tenteranya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan.
“Kami sudah memperkuatkan keselamatan dan pemantauan bagi menghadapi kemungkinan berlakunya provokasi dari Korea Utara.
Ketika ini, tentera Korea Utara menjalani latihan musim sejuk dan belum ada aktiviti luar biasa,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Presiden dan Perdana Menteri Korea Selatan, Hwang Kyo-ahn, semalam meminta pegawai kerajaan sentiasa memantau kemungkinan negara terpencil itu melakukan keganasan terhadap rakyat Korea Selatan.
Malah, beliau menggesa pegawai kerajaan dan semua pihak terbabit, termasuk pusat menangani keganasan supaya bersiap sedia.
Korea Selatan turut mengetatkan kawalan terhadap rakyat Korea Utara yang berpaling tadah, termasuk Thae Young-ho, yang juga seorang diplomat kanan berpangkalan di London.
Pada 13 Februari lalu, Kim Jong-nam, anak lelaki sulung pemimpin Korea Utara, mendiang Kim Jong-il, diserang dua wanita dengan racun ketika menunggu penerbangan ke Macau di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2).
Kerajaan Korea Selatan sebelum ini, mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya yakin Korea Utara bertanggungjawab ke atas kejadian itu.
The post Korea Selatan pertingkat kawalan hadapi provokasi Korea Utara appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan