Lebih 10 miligram Agen saraf VX diguna untuk bunuh Jong-nam
KUALA LUMPUR, 30 Jamadilawal 1438H, Isnin – Jumlah Agen saraf VX yang diberikan kepada Jong-nam mungkin lebih daripada jumlah 10 miligram sehingga boleh membawa maut, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Beliau berkata, hanya 10mg diperlukan untuk meresap ke dalam sistem untuk membawa maut.
Dalam kes ini katanya, Kim Jong-nam maut dalam tempoh 20 minit selepas diracun
“Jadi saya menganggap bahawa jumlah yang dikenakan ke atas dia adalah lebih daripada itu dan ia merupakan bahan kimia yang mudah diserap ke dalam kulit,” katanya.
Mengulas lanjut Subramaniam berkata, kakitangan perubatan yang merawat Jong-nam akan dipantau untuk tempoh dua hingga tiga minggu akan datang.
“Setakat ini tiada seorang pun daripada mereka telah menunjukkan sebarang tanda terkena kesan VX, senjata kimia yang diharamkan di negara ini.
“Kita perlu memantau mereka untuk satu tempoh kerana tanda-tanda boleh dikesan kemudian apabila terdedah kepada jumlah yang kecil,” katanya.
Bagaimanapun, beliau telah mengarahkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah supaya pemeriksaan kesihatan ke atas kakitangan dilakukan sejak hari pertama mereka merawat Jong-nam.
“Kita akan melakukan pemeriksaan susulan untuk melihat sama ada terdapat tindak balas yang lambat,” katanya lagi.
The post Lebih 10 miligram Agen saraf VX diguna untuk bunuh Jong-nam appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan