Pembunuhan Jong-nam: Suspek menetap di Malaysia lebih tiga tahun
KUALA LUMPUR, 15 Jamadilawal 1438H, Rabu – Salah seorang suspek warga Korea Utara dalam pembunuhan Kim Jong-nam, sudah menetap di Malaysia selama lebih tiga tahun tanpa bekerja di syarikat yang didaftarkan dalam permit pekerjanya atau menerima gaji.
Ri Jong Chol, 47, yang ditahan dalam siasatan pembunuhan abang tiri pemimpin negara itu memiliki visa untuk bekerja di Malaysia yang menunjukkan dia seorang kakitangan di Tombo Enterprise.
Bagaimanapun, pemilik syarikat, Chong Ah Kow berkata, suspek tidak pernah bekerja walau sehari atau mendapat gaji daripada syarikat kecil mengeluarkan herba perubatan itu.
“Saya bantu dapatkan visa pekerja suspek dengan menyertakan dokumen sokongan bahawa dia seorang pengurus pembangunan dalam jabatan teknologi maklumat (IT) syarikat dengan memperoleh RM5,500 sebulan.
“Visa pekerjanya diperbaharui sekali pada Jun 2016. Ia hanyalah satu urusan rasmi, hanya dokumen, saya tidak pernah membayar gajinya. Saya tidak tahu bagaimana dia tinggal di sini (Malaysia).
“Saya tidak tahu bagaimana dia memperoleh gaji,” kata Chong dalam satu temuramah dengan Reuters.
Ah Kow juga rakan Jong Chol berkata, warga Korea Utara itu tinggal bersama isteri serta dua anaknya di ibu kota ini.
Katanya lagi, beliau pernah disoal siasat polis dan bersedia berdepan sebarang tindakan berikutan menghantar maklumat palsu kepada kerajaan. – Agensi
The post Pembunuhan Jong-nam: Suspek menetap di Malaysia lebih tiga tahun appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan