Rasuah: Tiga lagi anggota tentera ditahan
KUALA LUMPUR, 29 Jamadilawal 1438H, Ahad – Tiga lagi anggota tentera dipercayai terlibat dalam kegiatan rasuah membabitkan projek yang diperoleh melalui Wisma Angkatan Tentera ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketiga-tiga suspek merupakan penyelia di kem tentera berasingan iaitu di Kota Bharu, Kelantan, Kuantan, Pahang dan Kluang, Johor itu ditahan ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan kes tersebut.
Seorang sumber berkata, pegawai tentera yang terlibat dalam kegiatan berkenaan disyaki menerima wang rasuah antara RM3,000 dan RM4,000 bagi setiap projek yang diluluskan.
“Disebabkan perbuatan itu, pihak pengurusan Kementerian Pertahanan (Mindef) mendapati kerja-kerja penyelenggaraan yang dilalukan tidak mengikut piawaian yang telah ditetapkan sehingga menyebabkan kerugian yang besar kepada pihak kerajaan,” kata sumber berkenaan.
Kelmarin, media melaporkan seorang pegawai kanan tentera mengaut keuntungan jutaan ringgit apabila mengambil 10 peratus daripada setiap nilai projek yang diperoleh melalui Wisma Angkatan Tentera menggunakan syarikat proksi termasuk milik bapanya.
Suspek berusia 57 tahun yang bertugas di Unit Selenggaraan Zon Timur, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Pertahanan (BPKP) itu dipercayai memberikan projek kepada syarikat proksi namun kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan oleh syarikat lain.
Susulan itu, SPRM turut menahan seorang staf sarjan yang disyaki turut terlibat dalam kes tersebut dan kedua-dua mereka kini direman tujuh hari bermula semalam.
The post Rasuah: Tiga lagi anggota tentera ditahan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan