UK bekal bantuan TVET kepada Malaysia
KOTA KINABALU, 23 Jamadilawal 1438H, Isnin – United Kingdom (UK) mengambil inisiatif untuk membantu Malaysia dalam bidang teknikal, pendidikan vokasional dan latihan (TVET).
Pesuruhjaya Tingginya di Malaysia, Vicki Treadell berkata, bantuan itu adalah sebahagian daripada usaha UK untuk terus menjadikan Malaysia rakan terpilihnya dalam pendidikan.
“Ada kira-kira 17,600 pelajar Malaysia di UK, bilangan kedua terbesar selepas China dan di hadapan India.
“Oleh itu, di bawah kempen kami, ‘Education is GREAT’ sekarang, kami mempastikan kepakaran UK dalam pendidikan dan latihan dapat diakses Malaysia di peringkat nasional dan negeri,” kata beliau.
Treadell bercakap kepada pemberita mengenai Seminar TVET Sabah, yang dirasmikan pembukaannya oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Dr Mary Yap Kain Ching di sini hari ini.
Pesuruhajaya Tinggi itu berkata beliau tertarik dengan pembangunan Sabah sekarang dan gembira dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri berhubung pembangunan modal insan menerusi Lembaga Pembangunan dan Pelaburan Ekonomi Sabah (SEDIA).
“UK boleh memperkongsi kepakarannya dalam membina kemahiran dan kompetensi bagi sektor berkenaan, yang mencetuskan sejumlah 114,000 pekerjaan yang diperlukan oleh Koridor Pembangunan Sabah (SDC),” kata beliau.
Yap berkata, TVET boleh mewujudkan tenaga kerja teknikal dan usahawan moden untuk perindustrian dan pembangunan global yang pesat.
Beliau juga berkata universiti perlu membentuk kolaborasi dengan industri bagi membolehkan lulusan yang berkebolehan memasuki pasaran kerja. – Bernama
The post UK bekal bantuan TVET kepada Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan