Wajarkah Rukunegara dijadikan mukadimah Perlembagaan negara?
KUALA LUMPUR, 26 Jamadilawal 1438H, Khamis – Pada 23 Januari lalu, satu kumpulan dikenali sebagai ‘Rukunegara Mukadimah Perlembagaan Malaysia (RMP)’ melancarkan gerakan untuk menjadikan Rukunegara sebagai dokumen pembuka kepada perlembagaan negara.
Ia digerakkan oleh nama-nama besar seperti Dr Chandra Muzaffar sebagai pengerusi dan Prof Datuk Shad Saleem Faruqi, pakar perlembagaan negara dan beberapa individu lain.
Antaranya, aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir dan Zainah Anwar, ahli akademik Prof Datuk Dr Tan Chong Tin dan Prof Madya Dr Medeline Berma, serta peguam, Firdaus Husni.
Tujuan penubuhan RMP adalah untuk menggerakkan usaha serampang dua mata bagi mendapatkan pungutan suara rakyat Malaysia melalui pengumpulan tandatangan serta berhajat mendapatkan sokongan Majlis Raja-Raja agar satu usul berkaitan usaha ini dapat dibentangkan di Parlimen.
RMP berpendapat ini adalah satu langkah perlu dalam usaha memartabatkan Rukunegara sebagai nilai hidup yang diguna pakai oleh rakyat Malaysia.
Bagi mereka, semangat Rukunegara sudah terlalu lama dipinggirkan daripada amalan di negara ini hari ini.
HASIL MUAFAKAT
Chandra dalam ucapannya di majlis pelancaran RMP menyenaraikan beberapa asas menyokong keperluan untuk menjadikan Rukunegara sebagai sebahagian daripada dokumen perlembagaan negara.
Menurut Chandra, adalah perkara biasa untuk perlembagaan sesebuah negara mempunyai mukadimah.
Kata beliau, daripada 193 negara di dunia, 160 negara mempunyai mukadimah pada perlembagaan mereka.
Mukadimah juga menekankan nilai sejagat serta unsur setempat yang ada kaitannya dengan perlembagaan.
Proses penggubalan Rukunegara juga mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri.
Umum mengetahui dokumen ini dirangka selepas tragedi berdarah 13 Mei 1969, sebagai satu strategi menyatupadukan kembali rakyat di negara ini serta memupuk semula keharmonian antara kaum.
Selama lapan bulan dari Januari hingga Ogos 1970, 67 anggota Majlis Perundingan Negara (MPN) yang mewakili sektor penting masyarakat seperti wakil kaum, ahli politik, pemimpin kerajaan, ketua parti politik pembangkang berbincang akhirnya berjaya mencapai muafakat dengan lahirnya dokumen Rukunegara.
“Insan yang mengemudi proses musyawarah MPN adalah negarawan tersohor kita, Allahyarham Tun Abdul Razak yang berjaya mencapai kata sepakat di kalangan anggota MPN yang begitu berbeza pendapat. Ini adalah kejayaan gemilang. Rukunegara adalah legasi Tun Razak yang harus diberi nafas baharu dalam suasana negara hari ini,” ulas Chandra.
SIMBOLIK PENGISYTIHARAN
Pengisytiharan Rukunegara dibuat pada 31 Ogos 1970 iaitu ulangtahun pertama Hari Kemerdekaan selepas tragedi 13 Mei 1969. Dalam keadaan negara yang perlu bangkit segera, ia adalah satu peristiwa penting buat negara.
Senada dengan MPN, DYMM YDP Agong ketika itu Tuanku Ismail Nasiruddin Shah Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Muazzam Shah III turut memainkan peranan dalam usaha ini apabila baginda berkenan melakukan pengisytiharan Rukunegara.
“Rukunegara tidak dimasukkan dalam perlembagaan ketika itu kerana Parlimen tidak berfungsi pada ketika itu berikutan pemerintahan Parlimen digantung 21 bulan berikutan rusuhan 13 Mei 1969 dan pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan,” tambah Chandra.
Untuk nota, sebarang pemindaan pada Perlembagaan Persektuan memerlukan undi minima dua pertiga anggota Dewan Rakyat selari dengan Perkara 159(3) dokumen itu.
Chandra turut berpendapat Rukunegara, walaupun diisytihar 46 tahun lalu, lebih relevan pada hari ini berbanding tahun-tahun sebelumnya demi menggalak perpaduan yang erat, perlaksanaan cara hidup demokratik dan memastikan pembahagian kekayaan negara secara adil dan saksama.
TIDAK SEMUDAH ITU
Pun begitu, usaha melobi untuk menjadikan Rukunegara sebahagian dokumen perlembagaan mungkin sebenarnya memerlukan penelitian yang lebih daripada sekadar pungutan suara dan memorandum kepada Majlis Raja-raja.
Ahli akademik, Prof Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berkata di sebalik hal positif yang mungkin dapat dicapai melalui usaha ini dalam masa yang sama boleh memberi kesan negatif kepada negara.
Menurut beliau, penggunaan istilah yang terdapat dalam naskah Rukunegara boleh memberikan gambaran tidak tepat kepada teks perlembagaan kerana dimensi pemaknaan yang berbeza antara kedua dokumen.
“Meletakkan dimensi yang terlalu luas seperti yang termaktub dalam Rukunegara berpotensi memberi gambaran tidak tepat kepada pengisian teks perlembagaan.
“Kita ambil contoh, perihal ‘Kepercayaan kepada Tuhan’ tidak sudah-sudah akan menjadi polemik. Rukunegara mewajibkan setiap rakyat Malaysia mempunyai Tuhan dan tidak menyebut kedudukan Islam sebagai agama bagi persekutuan,” ulas beliau.
PENGALAMAN NEGARA LUAR
Shamrahayu turut memetik hasil kajian yang diterbikan Oxford University Press pada 2010 menyatakan; ‘In many countries, preamble has been used, increasingly, to constitutionalise unenumerated rights; The preamble should not be used as Trojan Horse intended to smuggle substantive rights’.
Tambah beliau, Malaysia juga perlu meneliti pengalaman negara Kanada seperti yang dinyatakan dalam laporan ‘Constitutional Reform Unit’ terbitan The University of Sydney pada 2011.
Kes perundangan di negara seperti Amerika Syarikat dan India juga turut terkesan dengan mukadimah perlembagaan masing-masing.
Walaupun mukadimah dikatakan tidak mengikat teks perlembagaan, terdapat hakim yang membuat keputusan dengan mengambil kira mukadimah sebagai sebahagian daripada perlembagaan.
FAKTOR SEJARAH
Shamrahayu juga menunjukkan walaupun YDP Agong terlibat dalam pengisytiharan Rukunegara, baginda tuanku tidak menandatangani pengisytiharan itu .
Tambahan pula Rukunegara juga tidak menjelaskan tentang peranan Raja-Raja Melayu.
Maka, beliau berpendapat sekiranya Rukunegara diangkat sebagai mukadimah perlembagaan, ia akan memberi implikasi perundangan sebagai dokumen rujukan undang-undang tertinggi negara.
“Tidak seperti Rukunegara, pembentukan perlembagaan melibatkan peranan raja-raja Melayu, memorandum-memorandum dan mesyuarat sebanyak 118 kali sebagaimana yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Reid,” kata beliau.
Tambahnya, sebab kelahiran Rukunegara pada waktu itu adalah hasil gerakan rakyat yang bertujuan mengembalikan perpaduan yang telah rapuh sebagai penyelesai kepada impak kejadian 13 Mei.
Ia tidak dibuat dengan hasrat untuk menjadikannya dokumen tambahan kepada perlembagaan sedia ada.
“Perlembagaan negara kita adalah antara yang terbaik di dunia berbanding dengan beberapa negara lain yang mencapai kemerdekaan dalam dekad yang sama. Falsafah dalam Rukunegara sebahagiannya sudah ada dalam perlembagaan.
“Maka dengan itu kita tidak perlukan mukadimah kepada perlembagaan, ” tegas Shamrahayu. – Bernama
The post Wajarkah Rukunegara dijadikan mukadimah Perlembagaan negara? appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan