Waris Jong-nam tiba 2 hari lagi untuk pengesahan mayat
KUALA LUMPUR, 26 Jamadilawal 1438H, Khamis – Waris mendiang Kim Jong-nam dijangka tiba di Malaysia dua hari lagi bagi membantu polis mengenal pasti mayatnya, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim.
Beliau berkata, pengesahan waris ke atas mayat Jong-nam penting dalam membantu menamatkan pertikaian yang timbul ekoran kes pembunuhannya pada 13 Februari lalu.
Katanya, setakat ini tiada kalangan ahli keluarga mendiang tampil di hospital untuk proses pengesahan mayat.
“Sehari dua ini waris terdekat mangsa akan tiba di Malaysia. “Sama ada anak atau saudara terdekat, kena tunggu dulu, ” katanya kepada pemberita, hari ini.
Menurut laporan, Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas kerana menunggu untuk menaiki pesawat ke Macau apabila secara tiba-tiba seorang wanita menekup mukanya dengan kain dipercayai mengandungi racun.
Beliau segera dihantar ke Hospital Putrajaya, tetapi meninggal ketika dalam perjalanan. Lelaki itu tiba di Malaysia pada 6 Februari menggunakan pasport dengan nama Kim Chol.
The post Waris Jong-nam tiba 2 hari lagi untuk pengesahan mayat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan